KLANG – Tindakan sebuah premis menjalankan aktiviti penstoran buangan terjadual tanpa kebenaran di Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) membawa padah apabila didenda RM115,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Hakim Razali Ariffin menjatuhkan hukuman itu selepas syarikat tersebut selaku Orang Kena Saman (OKS) diwakili pengurusnya mengaku bersalah terhadap tiga pertuduhan dihadapinya.
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor, Nor Aziah Jaafar dalam kenyataan berkata, kesemua kesalahan bagi ketiga-tiga pertuduhan itu dilakukan pada 21 Januari tahun lalu.
Katanya, pertuduhan pertama adalah syarikat itu didakwa menjalankan aktiviti penstoran buangan terjadual SW 110 iaitu e-waste yang disyaki diimport dari negara luar tanpa mengemukakan laporan Kajian Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA).
“Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, syarikat itu didakwa telah menjadikan salah satu premis di dalam kawasan PKFZ sebagai tempat menyimpan buangan e-waste yang diimport tanpa lesen dan kebenaran bertulis dari JAS.
“Kegagalan syarikat mengendali dan menguruskan buangan terjadual mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 berpotensi menyebabkan berlaku pelupusan buangan bahaya secara haram dan pencemaran terhadap tanih negara,” jelasnya.
Beliau menegaskan, JAS Selangor akan sentiasa mengambil tindakan tegas dan tiada kompromi kepada penjenayah alam sekitar. – K! ONLINE