HULU TERENGGANU – Pejabat Pos Kuala Berang di sini diarah tutup selama empat hari sehingga lusa berikutan penularan Covid-19.
Jurucakap Jabatan Pejabat Pos Kuala Berang, penutupan pejabat pos utama di daerah ini tersebut diarahkan Jabatan Kesihatan Terengganu mengikut Seksyen 18 (1)(d) Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988.
“Sepanjang tempoh penutupan itu, premis tersebut akan menjalani kerja-kerja nyahkuman.
“Pelanggan boleh mendapatkan perkhidmatan di pejabat pos terdekat lain di Ajil di sini, Bukit Payung, Marang dan Chabang Tiga, Kuala Terengganu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sebelum itu, tular di aplikasi WhatsApp tentang dakwaan yang mengaitkan penutupan pejabat pos tersebut berikutan seorang kakitangannya yang bertugas sebagai posmen disahkan positif Covid-19.
Daerah Hulu Terengganu hari ini merekodkan dua kes baharu daripada 139 keseluruhan kes harian yang dilaporkan di Terengganu. – K! ONLINE