fbpx

Cadang perkenal giliran solat berjemaah di masjid, surau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar tular seorang lelaki menendang pintu pagar sebuah masjid apabila tidak dibenarkan masuk menunaikan solat di sebuah masjid di Kampung Sungai Tua Baharu, Gombak 14 Mei lalu.

PUTRAJAYA – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri mencadangkan untuk memperkenalkan sistem giliran bagi menunaikan solat berjemaah di masjid atau surau bagi mengimarahkannya sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

Beliau berkata, cadangan itu bagaimanapun bukan satu pandangan yang mesti diikuti oleh semua pihak tetapi sekadar ikhtiar.

“Bayangkan, selepas ditolak imam, bilal dan siak serta ahli jawatankuasa masjid, kita ada 45 atau 40 jemaah yang boleh digilirkan bagi setiap waktu solat.

“Kalau setiap waktu solat sebagai contoh, kita dapat menarik seramai 200 jemaah sehari. Bayangkan, jika setiap kampung ada 1,000 penduduk, kita boleh gilirkan semua penduduk untuk solat dalam masa lima hari.

“Jadi, dalam bahasa mudah, ia boleh memberi satu momentum yang baik dan pada masa sama, kariah dapat mengenali dengan lebih rapat ahli jawatankuasa masjid,” katanya dalam sesi khas secara dalam talian di  Facebook malam tadi.

Sesi khas itu adalah bagi merungkai isu ‘tendang pagar masjid’ dan insiden conteng ‘masjid kroni’ yang dipaparkan media, baru-baru ini.

Zulkifli berkata, beliau difahamkan, sistem giliran bagi menunaikan solat itu diamalkan masyarakat Palestin tetapi ia bukan disebabkan wabak Covid-19 sebaliknya sebagai ikhtiar apabila dihalang oleh rejim zionis Israel.

Beliau yakin jika cadangan itu dapat dilaksanakan, ia dapat menaikkan semangat cintakan masjid dalam kalangan umat Islam di negara ini.

“Bila semangat itu sudah dipupuk, tidak ada lagi timbul perasaan tidak puas hati dan geram kerana tidak dapat ke masjid.

“Moga suasana ini dapat menjadi pemangkin untuk menambah kecintaan kepada masjid, membina hubungan lebih erat antara kariah dan jawatankuasa masjid serta membina rangkaian yang lebih luas lagi,” katanya.

Katanya, masjid sepatutnya dilihat sebagai tempat pendamaian, tempat terjalinnya kasih sayang dan tempat manusia mengukuhkan dua ikatan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI