KOTA BHARU – Seorang wanita merayu orang ramai supaya membantunya menampung kos menjaga dan menguruskan suaminya yang kini terlantar sakit selepas melecur lebih 45 peratus pada bahagian badannya sejak lapan bulan lalu.
Che Zuriati Che Yahya, 41, dari Kampung Bunut Payong di sini kini buntu apabila memikirkan gerai makannya di Taman Air Splash, Jalan Kuala Krai di sini sudah dua bulan tidak beroperasi kerana perlu menjaga Wan Mohd. Jazil Safuan Wan Mohd. Zin, 39.
Katanya, ekoran itu mereka terpaksa mengikat perut dan memakan mi segera hampir setiap hari.
“Jika bernasib baik,ada jiran memberi makan atau saya pergi ke badan bukan kerajaan untuk meminta beras.
“Tahap kesihatan suami merosot sejak terlibat kejadian malang itu. Kulitnya menggerutu selain sering sakit dan pedih kesan daripada kebakaran petrol,” katanya ketika ditemui.
Tambahnya, suaminya memerlukan perhatian khusus kerana tidak mampu menguruskan diri.
Menurut Che Zuriati, kejadian malang itu berlaku apabila suaminya disambar api ketika hendak menghidupkan motosikal yang rosak pada September 2020.
“Ketika itu saya sedang bersiap-siap untuk keluar berniaga di kedai makan yang hanya beroperasi pada waktu pagi,” katanya yang masih belum dikurniakan cahaya mata sejak berkahwin dua tahun lalu.
Ujar Che Zuriati, suaminya sebelum ini pernah menjalani pembedahan menggantikan kulit badan baharu dan kini perlu menjalani rawatan tiga kali sebulan di Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini.
“Saya tidak mampu menanggung kos rawatan dengan berulang-alik ke hospital kerana tidak mempunyai wang,” katanya.
Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menghulurkan bantuan ke akaun Bank Islam, Che Zuriati 03018021021726 atau hubunginya di talian 017-986 4336. -K! ONLINE