TUMPAT – Seramai 300 orang penduduk di Kampung Teluk Renjuna di sini mula menjalani ujian saringan Covid-19 bermula hari ini susulan penularan wabak itu mula dikesan kawasan itu sejak beberapa hari lalu.
Penularan jangkitan Covid-19 itu disebabkan oleh seorang wanita yang dipercayai lari dari kawasan Mukim Bunut Susu, Pasir Mas yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) baru-baru ini.
Tinjauan Kosmo! mendapati, ujian saringan Covid-19 dijalankan di dewan terbuka Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Beluru mengikut prosedur operasi standard (SOP).
Rata-rata penduduk mula berkumpul di dewan terbuka itu seawal pukul 8 pagi untuk menjalani ujian saringan itu dengan PKPD di kawasan tersebut akan bermula pukul 12 tengah malam ini.
Seorang penduduk Rohana Mamat, 49, berkata, dia selamat menjalani ujian calitan Covid-19 pada pukul 8.45 pagi tadi.
Menurutnya, dia dan keluarga terpaksa akur dan terus menjalani ujian saringan selepas jangkitan Covid-19 mula menular di kawasan itu.
“Saya berdoa agar seluruh penduduk di kawasan ini dilindungi daripada wabak Covid-19,” katanya.