ARTIS kelahiran Singapura yang bernaung bawah payung label, Def Jam South East Asia itu mempunyai misi dan visi yang jelas iaitu melahirkan muzik disambut baik para pendengar.
Baginya, tiada apa yang mustahil dalam hidup. Selagi kesungguhan dan minat mendalam terhadap bidang diceburi, cahaya kejayaan pasti berkunjung di hujung terowong walaupun dimomok-momokkan dengan pelbagai cabaran dan hiruk-pikuk bergelar seorang anak seni.
Abangsapau, sepotong nama yang barangkali masih kedengaran asing buat kebanyakan daripada kita. Penulis sudah meminjamkan sedikit perhatian mendengar single debutnya berjudul ‘hahaha’. Karya yang dihasilkan oleh Prodbydan itu berentak ‘catchy’, padu dan yang paling penting, penuh dengan maksud tersirat, ditulis dalam bahasa Melayu dan Inggeris.
Kata lelaki berturunan Melayu-Sikh berusia 21 tahun itu, dia tidak pernah membayangkan bidang nyanyian menjadi satu kerjaya buat dirinya seperti hari ini.
Pernah jadi gelandangan
“Sejujurnya, saya tak pernah ‘plan’ untuk menjadikan nyanyian sebagai satu karier. Sebelum ini, saya anggapnya macam satu tempat untuk luahkan perasaan dan emosi sahaja.
“Saya seorang budak yang sangat sensitif. Hari demi hari, saya banyak refleksi diri dan semakin selesa dengan apa yang dilakukan sekarang. Saya buat ini untuk komuniti dan daripada komuniti,” katanya kepada
HibGlam menerusi satu panggilan video secara maya baru-baru ini.
Dedah Abangsapau lagi, ketika kecil, dia berdepan dengan pelbagai perkara yang membuatkan dirinya trauma dan tidak percaya dengan kebolehan diri sendiri. Ujarnya, dia merupakan ‘budak bermasalah’ ketika di bangku sekolah.
“Ibu bapa bercerai ketika saya masih kecil. Saya kurang kasih sayang daripada seorang ayah. Disebabkan kehidupan yang terumbang-ambing selepas ibu bapa bercerai, saya sekeluarga pernah jadi gelandangan seketika.
“Disebabkan itu juga, saya kurang keyakinan diri. Orang tak nampak kita punya trauma dan penderaan mental. Hanya kita yang merasainya. Sehinggalah saya belajar di Institute of Technical Education (ITE) Singapura, barulah saya beransur-ansur berubah.
“Saya mula berminat dengan kerja-kerja sosial, perihal pengucapan awam dan menjadi manusia yang lebih baik. Di situlah juga saya mula ‘berkenalan’ dengan bidang muzik,” ujarnya.
Selesa berkain pelekat
Diajak berbicara tentang gayanya yang sering dilihat menggayakan sarung atau kain pelekat, Abangsapau berkata, signatur fesyen yang dibawanya bukan saja-saja tetapi mempunyai nilai peribadi buat dirinya.
“Sarung adalah pemberian arwah datuk saya. Sebelum meninggal dunia, dia mewariskan semua sarungnya kepada saya. Saya akan menggayakannya setiap masa.
“Bahkan di sekolah, saya tidak segan silu memakainya termasuk di kawasan kejiranan tempat saya tinggal. Ibu selalu membebel (jangan pakai selalu) tapi saya sangat selesa menggayakan sarung. Kalau kena gaya, boleh jadi fesyen.
“Bagi saya, menggayakan sarung bukan satu perkara yang bermusim. Ini adalah sebahagian daripada diri saya. Dahulu masa mula-mula menyanyi rap, saya selalu nak ikut gaya orang lain tapi lama-kelamaan saya sedar yang kita akan selesa kalau memegang elemen diri sendiri,” ceritanya bersungguh.
Ujarnya, bahkan dalam sebahagian lirik ‘hahaha’, dia turut menyelitkan tentang rasa bangganya menyarung kain pelekat di mana-mana sahaja dirinya berada.
Menyanyi rap, semestinya Abangsapau mempunyai idola yang tersendiri. Katanya, dia meminati beberapa rapper Hollywood dan artis tempatan yang dia teringin untuk menjalin kerjasama andai diberi peluang.
“Saya minat J. Cole, Kendrick Lamar dan Mac Miller. Nama-nama yang saya sebut itu merupakan antara rapper yang memberi inspirasi dan membentuk siapa saya sebagai seorang artis pada hari ini.
“Kita ada ramai artis berbakat di Singapura. Kalau di sini (Singapura), saya teringin sekali berkolaborasi dengan Alyph. Kalau di Malaysia pula, saya menyimpan hasrat nak bikin muzik dengan SonaOne. Kalau tiada aral melintang, mungkin suatu hari nanti,” jelasnya.
Hahaha
Melanjutkan perbualan, Abangsapau memperincikan tentang single debutnya, ‘hahaha’. Katanya, lagu tersebut mempersendakan persepsi cetek mengenai kejayaan dalam dunia hip hop yang bermaksud semuanya diukur dengan statistik media sosial dan pembinaan jenama.
Dia merumuskan perihal tersebut dengan ayat pedas: ‘Ku banyak dengar’ ‘do it for culture’ (buat untuk budaya), half of y’all really do it for the gram’ (tapi anda semua sebenarnya buat untuk posting dalam media sosial). Tetapi, sebelum anda rasa kata-katanya berniat membunuh, rentak yang bertukar menggambarkan bahawa kata-kata lelaki itu bukan didorong oleh ego, tetapi hati.
Dalam rap, dia bercerita tentang seorang anak lelaki dalam sebuah keluarga yang mempunyai keinginan untuk melepaskan diri dari kitaran kebiasaan keluarganya.
Keinginannya untuk melibatkan diri dalam dunia seni lebih kuat berbanding memiliki pakaian mewah. Hanya kain sarung arwah datuknya yang dia perlukan dan mencipta jalan ceritanya sendiri, tanpa mengambil kira tentang populariti.
Dalam satu rangkap, pemilik nama sebenar Shazuan Shiraj itu meletakkan komunitinya dekat dalam fikirannya. Dia menyentuh tentang kisah keluarga yang meneruskan kelangsungan hidup di pangsapuri studio sewa ketika sibuk bekerja siang dan malam.penyanyi
Getus Abangsapau, dia bukan berkarya untuk membuat lagu yang akhirnya nanti akan dilupakan atau berkenalan dengan selebriti. Sebaliknya, dia melihat perjalanan yang dilaluinya ketika ini sebagai satu platform untuk membuat perubahan melalui seni.