JOHOR BAHRU – Seorang kakitangan awam sebuah jabatan kerajaan di negeri ini yang bertarung nyawa selepas parah disyaki dipukul suaminya sendiri 4 Mei lalu dipindahkan ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban, Negeri Sembilan dekat sini hari ini.
Mangsa yang berusia 43 tahun itu sebelum ini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini dipindahkan kira-kira pukul 8.30 pagi tadi.
Menurut adik mangsa, Fazariah Nordin, 38, kakaknya itu dipindahkan ke hospital di Seremban atas permintaan keluarga selain nasihat daripada pihak HSA.
“Keadaan kakak masih tidak sedarkan diri namun dia sudah boleh bernafas tanpa bantuan alat pernafasan.
“Kami mohon untuk pindahkan ke hospital Seremban sebab kami tidak ada keluarga di sini, kalau di Seremban dekat sikit dengan keluarga kami yang tinggal di Sungai Udang, Melaka.
“Jadi kami nak ulang-alik pun dekat, pihak HSA ada cakap juga keadaan kakak semakin pulih,”katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Fazariah berkata, pihak hospital turut memaklumkan mangsa dimasukkan ke wad Hospitan Tuanku Jaafar beberapa hari lagi sebelum dibenarkan bawa pulang ke rumah.
Jelasnya, ahli keluarga diajar untuk mengendalikan kakaknya bagi membolehkan mereka menjaga wanita itu di rumah.
“Pihak hospital memberitahu kami perlu membawa kakak keluar rumah setelah keadaan kakak sudah baik bagi memulihkan ingatan dia,”katanya.
Kosmo! Isnin lalu melaporkan seorang pegawai wanita di sebuah jabatan kerajaan bertarung nyawa di ICU, HSA di sini selepas dipercayai dibelasah suaminya dalam kejadian pada 4 Mei lalu.
Mangsa yang sedang hamil empat minggu itu mengalami kecederaan parah pada kepala dan tengkorak terpaksa dibuang akibat pendarahan selain rahang, tulang belakang serta rusuk retak disyaki dipukul suaminya yang berusia 38 tahun.
Sehingga kini, lelaki yang dikenali sebagai Rosmaini Abd. Raof, 38, masih dikehendaki polis untuk membantu siasatan dan dipercayai telah melarikan diri.-K! ONLINE