KOTA BHARU – Pelaksanaan ‘total lockdown’ di seluruh negara merupakan antara langkah-langkah drastik yang sedang dipertimbangkan oleh kerajaan bagi mengekang penularan jangkitan Covid-19 ketika ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pilihan itu akan dibincangkan secara lebih lanjut dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersidang bersama Perdana Menteri dan wakil-wakil kerajaan negeri esok.
“Itu (total lockdown) antara langkah-langkah yang perlu difikirkan oleh pihak MKN selepas kita melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan sebagainya. Itulah langkah-langkah yang perlu diambil, sama ada secara keseluruhan atau bersasar.
“MKN akan bersidang esok dan ia mungkin akan dibincangkan dengan melibatkan melibatkan Perdana Menteri, Menteri-Menteri Besar dan Ketua-Ketua Menteri,”katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar ketika hadir ke mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Khas Negeri Kelantan (JKKNK) yang dipengerusikan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob di Kompleks Kota Darulnaim Kota Bharu di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr. Zaini Hussin.
Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, kerajaan kini memberi fokus sepenuhnya terhadap usaha menangani Covid-19 dan akan menangguhkan perkara lain buat sementara waktu. – K! ONLINE.