SEREMBAN – Selebriti, Noor Neelofa Mohd. Noor dan suaminya, Muhammad Haris Mohd. Ismail mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Neelofa dikenakan jaminan sebanyak RM5,000 atas satu pertuduhan gagal membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk ‘check in’.
Muhammad Haris pula dikenakan jaminan sebanyak RM10,000 atas dua pertuduhan iaitu gagal membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk ‘check in’ atau menulis secara manual serta tidak memakai pelitup muka di tempat awam.
Kedua-dua mereka dituduh di Mahkamah Majistret Seremban hari ini di bawah Peraturan 19, Peratutan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan Bersyarat) (No 4) (Pindaan) (No 12) 2021.
Pada 4 Mei lalu, Neelofa dan Muhammad Haris dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai bagi memberi keterangan selama empat jam berkaitan penularan gambar dan video mereka berada di sebuah premis menjual permaidani di Pusat Perniagaan Nilai 3 pada 2 Mei 2021.
Kes akan disebut semula pada 4 Jun depan. – K! ONLINE