MANCHESTER – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola mengakui, bimbang menyaksikan pemain tengah berpengaruh, Ilkay Gundogan mengalami kecederaan ketika tewas 2-3 kepada Brighton dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Amex awal pagi semalam.
Pada aksi tersebut, Gundogan yang diberikan lilitan kapten berjaya menjaringkan satu gol buat The Citizens sebelum dia terpaksa dikeluarkan pada awal babak kedua kerana dikhuatiri mengalami kecederaan.
Kata Guardiola, berdasarkan laporan awal daripada pegawai perubatan pasukan, pemain tengah antarabangsa Jerman itu tidak mengalami kecederaan serius dan mungkin boleh diturunkan untuk aksi final Liga Juara-Juara menentang Chelsea minggu depan.
“Kami akan pantau tahap kecergasan Gundogan tetapi pegawai perubatan kami cukup optimis bahawa dia tidak mengalami kecederaan serius. Saya membuat keputusan tepat untuk mengeluarkannya pada awal babak kedua,” katanya.
Sementara itu, Guardiola menjelaskan, kekalahan tersebut tidak memberi sebarang makna buat mereka yang akan menjulang trofi EPL buat kali ketiga dalam tempoh empat tahun, apabila menentang Everton di Stadium Etihad, Ahad ini.
“Saya mahu pasukan mengambil pengajaran daripada perlawanan ini kerana kami berdepan kesukaran apabila beraksi dengan 10 pemain untuk satu tempoh yang panjang. Dalam masa sama, saya mahu pasukan fokus untuk dua aksi terakhir.
“Kami akan meraikan kejayaan menjulang trofi apabila bertemu Everton nanti. Selepas itu, kami cuma mempunyai masa kurang seminggu untuk membuat persiapan menentang Chelsea di pentas final (Liga Juara-Juara) minggu depan,” katanya.
Sebagai rekod, layangan kad merah kepada Joao Cancelo seawal minit ke-10 dilihat sebagai punca utama City tewas awal pagi semalam meskipun berjaya menjaringkan dua gol melalui Gundogan dan Phil Foden.
Malang tidak berbau buat City apabila Brighton mempamerkan kebangkitan dramatik untuk memenangi aksi tersebut menerusi tiga gol daripada Leandro Trossard, Adam Webster dan Dan Burn. – AGENSI