fbpx

Pisau Cukur yang malar segar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MAYA KARIN dan Fazura dalam Pisau Cukur.

KETIKA filem ini dilancarkan sekitar 12 tahun lalu, ulasan versi HibGlam! masih belum wujud untuk memahatkan ulasan tentang kualiti karya yang diterjemahkan sutradara hebat, Bernard Chauly.

Kalaupun ada, mungkin juga ulasan tersebut sudah terpadam daripada laman web rasmi Kosmo! yang bertukar ‘tampuk pengurusan’ sekitar penghujung 2019 yang menyebabkan ke semua kandungan Kosmo! terdahulu lesap begitu sahaja.

Lantas, izinkan penulis meletakkan sedikit catatan terhadap filem ikonik, Pisau Cukur yang menggabungkan dua figura hebat tanah air tersebut. Indahnya, dua aktres bernama Nur Fazura dan Maya Karin itu kekal relevan sehingga ke hari ini.

Buat sesiapa yang mungkin terlepas pandang, Pisau Cukur kini boleh ditonton menerusi perkhidmatan penstriman video popular, Netflix bermula hujung Ramadan lalu (11 Mei).

PISAU CUKUR kini boleh ditonton menerusi perkhidmatan penstriman video popular, Netflix bermula hujung Ramadan lalu (11 Mei).

Nostalgia, masih relevan

Secara peribadi, karya ini merupakan antara filem kegemaran ramai termasuk penulis.

Bahkan biarpun 12 tahun berlalu, karya berkenaan masih lagi relevan dan tidak terlalu meninggalkan realiti semasa.

Berpeluang meminjamkan sedikit masa ‘bernostalgia’ menonton Pisau Cukur dek keterbatasan pergerakan ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, dalam waktu terdekat sahaja, penulis sempat dua kali menamatkan sesi menatap karya berkenaan.

Maya dan Fazura yang menjayakan watak utama menunjukkan cetusan kimia (chemistry) antara yang paling serasi pernah dibentangkan di layar perak. Bukan mudah untuk menyatukan dua aktres hebat yang mempunyai personaliti berbeza dalam satu landasan dan hasilnya, sangat berkesan.

Seperti tertulis pada perenggan terdahulu, lebih sedekad berlalu, kolaborasi antara mereka tetap antara yang paling berbekas dan memberi impak. Sejujurnya, penulis berharap akan ada lagi perkahwinan filemografi antara mereka.

SHARIFAH SOFEA, Maya Karin dan Umie Aida berjaya membuatkan Pisau Cukur tidak berkarat ditelan waktu.

Selain kehebatan Maya dan Fazura, anda semua tahu impak watak-watak lain yang diberi ‘keadilan’ sehabis baik dalam filem ini. Aaron Aziz ternyata menjalan tugasnya dengan bagus, begitu juga Redza Minhat.

Tidak kurang juga keberkesanan karakter yang ditonjolkan pemain karakter Datuk Zakaria ketika sekitar pertengahan perjalanan cerita.

Masih basah dalam minda penulis sewaktu filem ini sedang hangat diperkatakan penonton. Bernard mendedahkan, bahawa kapal peranginan yang divisualkan dalam filemnya adalah ‘bantuan’ imej janaan komputer (CGI).

Soal plot dan naratif, usah dilebarkan perihal berkenaan. Jika ada penonton yang menguap kebosanan barangkali ada wayar dalam kepalanya putus. Jangan marah, penulis sengaja bergurau!

Apa yang ingin disampaikan di sini, jika ada penonton yang merindukan filem-filem tempatan, sudah banyak karya hebat khazanah kita yang memasuki Netflix. Ada Gol & Gincu, Senario Lagi, Puteri Gunung Ledang dan banyak lagi. Selamat bernostalgia dan Oh My Gucci!

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI