REMBAU – Dua anak lelaki orang kelainan upaya (OKU) lembam tetap setia menjaga ibu mereka, Peah Hassan, 85, yang kini uzur di Kampung Seberang Batu Hampar di sini, sejak berpuluh-puluh tahun lalu.
Zulkifli Said, 50, berkata, dia dan abangnya, Kamarudin Said, 58, tinggal bersama ibu mereka sejak kecil lagi serta bergantung hidup sepenuhnya kepada ibu.
Menurutnya yang merupakan anak bongsu, ibunya itu baru-baru ini terjatuh dan sukar bergerak, namun tidak mahu dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.
“Saya nak buat kerja-kerja lain seperti kemas rumah itu saya tak berapa tahu. Hanya kadangkala saya memasak makanan, tetapi adakalanya hanya membeli makanan untuk kami bertiga.
“Hanya abang yang banyak membantu seperti membasuh baju, menjemur dan juga melipat baju kami,” katanya ketika ditemui di Kampung Seberang Batu Hampar di sini semalam.
Terdahulu tiga beranak itu diziarahi oleh Penyelaras Dewan Undangan Negeri Chembong, Nasarudin Ibrahim.
Kehidupan mereka sebelum ini tular di media sosial apabila sebuah organisasi yang menghulurkan bantuan meluahkan rasa simpati ke atas tiga beranak itu.
Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Seberang Batu Hampar, Mohd. Fazriq Razali berkata, keperluan tiga beranak tersebut selama ini sememangnya dalam pemantauan Biro Kebajikan MPKK.
“Warga emas ini sebenarnya mempunyai empat anak, namun seorang sudah meninggal dunia. Mangsa yang uzur tidak mahu tinggal di tempat lain dan hanya ingin menetap di tanah pusakanya sendiri,” ujarnya.
Fazriq berkata, pihaknya setiap bulan juga akan menghantar individu untuk memotong rumput di pekarangan rumah warga emas itu selepas mendapat persetujuan seorang lagi anaknya yang tinggal di tempat lain.
Namun, aktiviti gotong-royong membersihkan bahagian dalam rumahnya tidak dapat dilakukan ketika ini kerana Perintah Kawalan Pergerakan.
“Kami mengalu-alukan mana-mana pertubuhan yang ingin membantu keluarga itu, namun mereka perlu mematuhi prosedur operasi standard,” katanya. -K! ONLINE.