PETALING JAYA – Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Bersepadu 2.0 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps) telah membuat bersediaan bagi membuka Dewan F malam ini.
Kementerian Kesihatan (KKM) dalam satu hantaran di Facebooknya berkata, Dewan F merupakan dewan yang baharu dibuka dan menempatkan hampir 600 katil bagi pesakit Covid-19 warganegara kategori 1 dan 2.
Dewan tersebut dibina lengkap dengan penyaman udara, ‘lounge’ untuk pesakit berehat dan ada pemisah antara pesakit lelaki dan wanita.
Kemudahan lain seperti surau dan tandas turut disediakan.
Pesakit kategori 1 dan 2 Covid-19 merupakan pesakit yang tidak bergejala atau mempunyai gejala ringan, manakala kategori 3 adalah mereka yang bergejala dengan radang paru-paru dan kategori 4 adalah mereka yang bergejala dengan radang paru-paru dan memerlukan bantuan oksigen.
Buat masa ini, Dewan A menempatkan pesakit daripada kategori 1, 2 dan 3; Dewan B pesakit kategori 3 manakala Dewan C, D1 dan DG menempatkan pesakit Covid-19 kategori 1 dan 2.
Setakat ini pula, PKRC Maeps mempunyai kapasiti sebanyak 5,869 katil dengan kira-kira 70 peratus sudah dipenuhi. – K! ONLINE