PETALING JAYA – Seorang bayi lelaki yang masih hidup ditemui bersendirian di atas meja di belakang rumah seorang lelaki warga asing, di Kampung Sungai Kayu Ara, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, bayi yang masih bertali pusat dan dibungkus dalam plastik hitam itu ditemui sekitar pukul 5.10 pagi oleh orang awam.
“Sebelum bayi itu ditemui, orang awam menyedari bunyi tangisan bayi sekitar pukul 4.50 pagi.
“Sebaik bayi tersebut ditemui, mereka menghubungi Balai Polis Mutiara Damansara bagi memaklumkan penemuan bayi tersebut,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya, siasatan awal mendapati bayi yang telah dihurung semut itu disyaki bukan berasal dari kawasan perumahan tersebut kerana tiada penduduk perempuan yang sedang mengandung.
“Kita juga tidak tahu pukul berapa bayi ditinggalkan di lokasi berkenaan.
“Dia telah diselamatkan dan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk pemeriksaan,” ujarnya
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum penjara selama tempoh yang boleh sampai tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. – K! ONLINE