PETALING JAYA – Bukan jadi isteri kedua menteri atau orang kenamaan sebagaimana yang diperkatakan umum, penyanyi terkenal Datuk Nora Ariffin sebaliknya mengakui hatinya terbuka menerima lamaran seorang lelaki biasa kerana memiliki kriteria serupa dengan arwah suaminya.
Nora, 48, berkata, selepas empat tahun pemergian suaminya, Allahyarham Johan Nawawi, sekali pun tidak pernah terdetik di hatinya mencari pengganti. Apa yang dilalui sekarang adalah rezeki, takdir dan ketentuan Ilahi.
“Pertama sekali, saya tak pernah berniat pun nak mencari pengganti. Ini adalah rezeki, takdir dan ketentuan Allah,” kata Nora.
Akui ibu kepada empat cahaya mata itu, faktor utama yang membuatkan dirinya jatuh hati terhadap lelaki tersebut ialah keperibadian seperti Johan.
“Semestinya lelaki itu seseorang yang mempunyai sifat-sifat seperti Johan. Seorang yang menjaga agama dan solat. Jadi, insya-Allah dia boleh jaga saya dan anak-anak,” jelas Nora kepada Kosmo! baru-baru ini.
Terdahulu, desas-desus penyanyi yang terkenal dengan lagu Di Persimpangan Dilema itu sudah berkahwin dengan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa di Songhkla, Thailand menjadi bualan ramai susulan tular sekeping sijil nikah didakwa milik mereka dalam media sosial.
Dia sebaliknya menafikan perkara tersebut, namun dalam masa sama mengakui ada menerima lamaran daripada seorang lelaki yang tidak diperincikan lagi identitinya kepada umum.
Ditanya mengenai majlis perkahwinan mereka, pemilik nama sebenar Wan Norafizah Wan Ariffin itu berkata, buat masa ini belum ada rancangan. Tambahan pula penularan Covid-19 masih berleluasa dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih dilaksanakan.
Penyanyi berasal dari Kota Bharu itu sebelum ini berkahwin dengan komposer terkenal, Johan Nawawi pada 1992 dan dikurniakan empat cahaya mata. -K! ONLINE.