fbpx

Aidilfitri sangat aneh seperti di negara berbeza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dua gadis mengambil peluang merakamkan gambar selepas aktiviti ziarah raya tidak dibenarkan di Kuala Lumpur baru-baru ini.- FARIZ RUSADIO

1 Syawal kali ini sangat berbeza atau berasa sangat aneh.

Apa tidaknya virus seperti selesema yang melanda dunia hampir 18 bulan lalu telah ‘merompak’ Aidilfitri yang dikenali sejak kecil.

Sembahyang sunat Aidilfitri ke masjid atau surau yang sering menjadi the event di pagi raya telah dihadkan.

Berjalan ke rumah saudara atau rakan dilarang. Tiada suara kanak-kanak berjalan dari rumah ke rumah. Masa buat duit raya lenyap.

Tiada bersalaman dan meminta maaf bersama ibu bapa.

Penulis seperti kebanyakan rakyat yang bukan tiga generasi tinggal serumah, menghabiskan 45 minit bercakap dengan emak yang boleh dilawati kurang 30 minit perjalanan.

Duit raya pun sudah dimasukkan ke dalam sampul menjangkakan cucu akan sampai.

Bagaimana memberitahu seorang wanita berusia 88 tahun keadaan semasa walaupun dia telah melalui zaman tentera Jepun, makan ubi kayu, kemerdekaan, pembentukan Malaysia, 13 Mei, dan Covid-19.

Akhirnya hanya gambar swafoto di atas kerusi roda dikongsi. Perkara sama dirasai jutaan anak Malaysia.

Semua membuat appointment panggilan telefon atau video call seperti sesi belajar PdPR. Adik-beradik lain pun turut serta sambil beraya era siber. Duit raya ‘ditransfer’ online.

Walaupun sekuat mana dicuba atau menyakinkan diri bahawa ia tetap hari raya, hakikatnya ia tidak sama.

Baju Melayu penulis sendiri sudah ke laut menjelang jam 12 tengah hari. Jeans dan t-shirt jadi pengganti.

Menjelang pukul 4 petang sudah menjamah ‘fries’ dan ‘Sundae’. Itu Aidilfitri 2021. Tetapi rakyat menerima hakikat.

Tetapi cuma Aidilfitri di Malaysia seperti berada di beberapa negara Malaysia yang berbeza.

Ketika kebanyakan masjid dan surau mengehadkan kepada 50 atau 20 jemaah, gambar di Masjid Negara menunjukkan ramai bersembahyang di pekarangan masjid.

Di negeri-negeri tertentu, sembahyang di pekarangan dibenarkan. Jadi ramailah dapat menayang butang baju Melayu dan samping.

Di tempat lain, penguat kuasa singgah di surau dan masjid bagi memastikan jumlah diumumkan semasa perutusan PKP dipatuhi.

Di kebanyakan negeri di Semenanjung, polis bertungkus-lumus mengadakan sekatan jalan raya. Rumah diperiksa bagi mengelak ziarah.

Di Sabah, sambutan dan ziarah Aidilfitri dibenarkan selama tiga hari dengan masa dan jumlah pengunjung terhad.

Di Sarawak PKPnya juga membenarkan beraya pada hari pertama. Kemudian timbul pula gambar-gambar selebriti sambut raya beramai-ramai.

Daripada hari bermaaf-maafan terus menjadi hari kutuk-mengutuk. Gambar yang tular menaikkan darah kebanyakan rakyat yang patuh PKP.

Yang lebih membingungkan kita hidup di Malaysia yang sama. Negara yang sama tetapi rasanya seperti beberapa negara dalam Malaysia yang berbeza.

Ia bukan lagi antara dua darjat tetapi sudah jadi berdarjat-darjat. Semua bersetuju Covid-19 adalah musuh sejagat. Tetapi ia tidak akan diselesaikan jika setiap negeri ada standard masing-masing.

Anda tidak akan dapat menangkap singa kalau tidak masuk ke dalam sangkarnya.

Cuma masalahnya terlalu banyak singa di luar sangkar.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI