GEORGE TOWN – Tindakan licik seorang pemuda memecah masuk sebuah unit apartmen di Taman Pekaka, Glugor di sini secara bersendirian Februari lalu akhirnya mengundang padah apabila dia diberkas polis semalam.
Suspek berusia 21 tahun itu ditahan sepasukan polis dari bahagian Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di bawah blok lorong Pekaka Satu kira-kira pukul 1.30 pagi.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, penahanan suspek dilakukan selepas pihaknya menerima laporan daripada pengadu yang juga penghuni kediaman berkenaan di Balai Polis Sungai Nibong pada 15 Februari lalu.
Menurutnya, pengadu wanita berusia 32 tahun menyedari kejadian tersebut selepas mendapati barangan kegunaan hariannya telah tiada termasuk pintu bilik dan laci berada dalam keadaan terbuka.
“Hasil soal siasat polis, suspek yang bekerja sebagai tukang cuci sekolah itu mengaku terlibat dalam kes tersebut secara seorang diri.
“Dia yang masih bujang turut mengaku masuk ke dalam rumah berkenaan dengan memanjat melalui cermin tingkap bilik yang tidak ditutup,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.
Soffian memberitahu, suspek yang tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau itu kini ditahan reman selama empat hari mulai semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE