PUTRAJAYA – Tawaran sumbangan dua juta dos vaksin jenis Sinovac yang kononnya bakal diterima kerajaan negeri Pulau Pinang disahkan palsu dan satu bentuk ‘scam’.
Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, pengesahan itu susulan pemeriksaan dan semakan lanjut yang dilaksanakan terhadap syarikat pembekal, Sinovac Biontech Ltd. di China.
“Selepas pemerhatian dan semakan lanjut, kami ingin mengesahkan bahawa sumbangan dua juta dos itu adalah tidak sahih dan palsu.
“Vaksin adalah barang yang dikawal dan ia bukan macam beli baju-T di platform e-dagang tapi perlu mendapat kelulusan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA),” katanya dalam sidang akhbar khas secara dalam talian di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Khairy Jamaluddin yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, siasatan lanjut tidak menemui apa-apa bukti ataupun sebarang permohonan daripada mana-mana wakil Sinovac berhubung sumbangan vaksin yang dimaksudkan itu.
Bahkan, katanya, Ketua Jualan Antarabangsa Sinovac Biontech Ltd., Coco Chang juga menafikan pernah dihubungi bagi urusan sumbangan berkenaan.
“Kami turut melakukan pemeriksaan terhadap syarikat yang menguruskan sumbangan itu iaitu Xintai Development Enterprise Ltd. dan mendapati syarikat itu tidak wujud.
“Malah, tiada sesiapa pun mengenali individu dikenali sebagai Yong Chee Kong seperti dipaparkan dalam surat tawaran sumbangan kepada kerajaan negeri Pulau Pinang itu,” katanya.
Khairy Jamaluddin menyuarakan kehairanan bagaimana Ketua Menteri Pulau Pinang Chan Kon Yew dan bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng boleh menggunakan ‘scam’ itu dan kemudian menuduh kerajaan kononnya menghalang sumbangan vaksin berkenaan.
Katanya, beliau juga sudah menghubungi Kon Yew dan Guan Eng bagi memaklumkan perkara itu dan mengingatkan mereka supaya tidak cuba mempolitikkan PICK yang dilaksanakan kerajaan ketika ini.
“Jika mereka (Kon Yew dan Guan Eng) dapat membuktikan tawaran sumbangan itu sahih, beliau akan memberi kebenaran serta merta untuk membawa masuk vaksin berkenaan,” katanya.
Sementara itu, Khairy Jamaluddin berkata, beliau mengalu-alukan mana-mana pihak yang ingin menyumbang bekalan vaksin kepada Malaysia atau kerajaan negeri namun, ia perlu mengikut saluran yang ditetapkan.
Sebelum ini, Kon Yeow mendakwa kerajaan Persekutuan tidak memberi kelulusan bagi tawaran dua juta vaksin jenis Sinovac yang disumbangkan sebuah syarikat swasta. -K! ONLINE