fbpx

Signifikan Bawang Rangers bela Palestin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
IKHWAN IDERIS, WARTAWAN EKSEKUTIF

KRISIS kemanusiaan di Semenanjung Gaza yang tercetus se­mula pada 27 Ramadan lalu kembali menye­darkan dunia termasuk rakyat Malaysia tentang kekejaman Rejim Zionis.

Serangan demi serangan yang dilancarkan tentera Israel bermakna hari demi hari, semakin banyak nyawa penduduk Palestin terkorban, tidak kira tua atau muda, lelaki atau perempuan.

Dalam berdepan krisis kesihatan akibat Covid-19, ramai rakyat Malaysia cuba membantu penduduk Palestin yang teraniaya setakat mana termampu.

Selain doa serta sumbangan wang ringgit, apa yang dilakukan ialah menyatakan kecaman dan ketidakpuasan hati terhadap perbuatan kejam Zionis. Medium paling mudah adalah platform media sosial.

Pasti ramai yang bangga melihat serangan sinis dilakukan tentera bawang negara yang turut dikenali sebagai Bawang Ran­gers di media sosial yang seakan-akan berjaya menghasilkan kesan tersendiri dalam perjuangan membela Palestin.

Terma ‘koyak’ yang sering digunakan untuk menyifatkan keadaan tentera Zionis oleh netizen Malaysia turut menjadi sohor sehingga disenaraikan dalam kamus online, Urban Dictionary. Kamus online ini dibangunkan bermula 1999 yang menyenaraikan perkataan slanga daripada seluruh dunia.

Pun begitu, tidak kurang juga mereka yang skeptikal, sejauh mana impak Bawang Rangers ini, ketika kritikan dan kecaman dari­pada kuasa-kuasa besar se­perti China sekalipun tidak mampu menghentikan keganasan tentera Israel.

Mereka beranggapan langkah secara praktikal di lapangan perlu dibuat bagi membantu penduduk Palestin.

Penganalisis politik, Prof. Dr. Sivamurugan Pandian, tindakan dan usaha rakyat Malaysia yang menyatakan solidariti terhadap perjuangan rakyat Palestin di media sosial sama sekali bukanlah sesuatu yang sia-sia.

Beliau mengakui dari sudut sejarah, pelbagai bentuk kekejaman terus dilakukan Zionis kepada rakyat Palestin, terutamanya penduduk di Tebing Barat meskipun tindakan itu sentiasa me­nerima kecaman dunia.

“Malaysia sebagai sebuah negara Islam perlu menjadi suara induk dalam menyokong perjuangan rakyat Palestin, walaupun dalam konteks politik antarabangsa, tindakan Israel sukar dibendung selagi tiada campur tangan kuasa besar khususnya Amerika Syarikat (AS).

“Suara-suara kecaman ini diharap sekurang-kurangnya dapat meredakan sedikit keadaan di sana, tetapi jika kita ingin melihat satu keputusan lebih positif, ia mungkin memakan masa.

“Lebih-lebih lagi apabila AS sering menggunakan kuasa veto mereka dalam Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk menyokong Israel,” katanya.

Menurut Sivamurugan, meskipun usaha Bawang Rangers ini nampak kecil, impaknya tetap ada dan apa yang perlu dibuat kini ialah supaya kritikan itu dilakukan secara berterusan sebelum dapat melihat perubahan.

Ujarnya, selain pihak yang menyokong Palestin, ada juga pihak yang menyokong perbuatan kejam Rejim Zionis itu.

“Justeru, suara-suara menentang golongan yang tidak rasional ini adalah perlu bagi memberi kesedaran tentang situasi sebenar di Palestin.

“Saya melihat bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai contoh yang baik kerana lantang mengkritik kekejaman Zionis sejak dahulu lagi. Beliau kini masih menjadi rujukan termasuk daripada pemimpin dunia lain dalam soal pembelaan Palestin,” katanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI