PETALING JAYA – Kerajaan Selangor bersedia untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh atau ‘total lockdown’ sekiranya diarahkan oleh Kerajaan Persekutuan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, keputusan berkaitan ‘total lockdown’ itu akan diputuskan pada mesyuarat bersama beberapa agensi kerajaan termasuk MKN pada jumaat ini.
Katanya, Kerajaan Selangor tidak menolak untuk melakukan PKP penuh sekiranya langkah itu adalah yang terbaik untuk mengurangkan kes di negeri ini.
“Keputusan untuk mengumumkan PKP penuh atau ‘total lockdown’ ini bergantung kepada Kerajaan Persekutuan dan Perdana Menteri yang juga Pengerusi MKN sahaja yang boleh membuat pengumuman itu yang dijangka akan bersidang esok atau jumaat ini.
“Namun begitu, Kerajaan Selangor memandang serius keutamaan kita menjaga kesihatan masyarakat. Jika diberikan dua pilihan, untuk menjaga nyawa akan diberikan keutamaan,” katanya pada sidang media di Facebook Live di sini hari ini. – K! ONLINE