LONDON – Khabar kurang baik buat penyokong Tottenham Hotspur apabila penyerang utama, Harry Kane dilaporkan sedia untuk meninggalkan pasukan itu pada jendela perpindahan musim panas ini.
Kane dikatakan sudah menyuarakan hasratnya itu kepada pengerusi kelab, Daniel Levy dan dia mahu kekal beraksi dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).
Tiga pasukan gergasi EPL, Manchester City, Manchester United dan Chelsea dikatakan sudah berhubung dengan ejen pemain tersebut bagi mendapatkan khidmatnya.
Bagaimanapun, mereka mungkin terpaksa mengeluarkan belanja besar untuk mendapatkan Kane memandangkan Spurs meletakkan nilai £150 juta (RM877.2 juta) terhadap pemain antarabangsa England itu.
Sebelum ini, Kane sudah beberapa kali menyuarakan kekecewaan berhubung kegagalan pasukan itu untuk memenangi sebarang kejuaraan sehingga menyebabkan beberapa pengurus terdahulu dipecat.
Khidmat Kane pastinya ditagih pasukan-pasukan gergasi Eropah berdasarkan ketajamannya di hadapan gawang selepas merekodkan 165 gol dalam 243 penampilan dalam Liga Perdana.
Difahamkan, sekiranya Spurs bersetuju melepaskan Kane, mereka mungkin lebih memilih tawaran daripada kelab-kelab luar England berbanding kelab Liga Perdana kerana tidak mahu pesaingnya Spurs bertambah kuat.
Sekiranya Kane mahu kekal dalam Liga Perdana, Spurs mungkin sedia untuk melakukan rundingan bersama United atau City memandangkan mereka tidak memiliki hubungan baik dengan Chelsea. – AGENSI