fbpx

Saya baru tahu mualaf Malaysia tidak boleh bersuara – Michael Ang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MICHAEL Ang membidas kenyataan netizen yang mendakwanya tidak layak untuk mengeluarkan kenyataan tentang isu berkaitan orang Melayu dan agama Islam.

PETALING JAYA – Pengarah dan produser terkenal Michael Ang membidas komen seorang pengikutnya dalam Instagram apabila mengaitkan statusnya sebagai mualaf supaya tidak lantang memberikan pandangan negatif dalam laman sosial.

Menerusi satu hantaran yang dimuat naik dalam Instagramnya, seorang pengguna menegur Michael supaya berhenti bercakap perkara yang tidak berfaedah dan menyakitkan selain memintanya untuk menghormati kaum Melayu beragama Islam.

Gara-gara teguran tersebut, Michael seolah-olah tersinggung apabila individu terbabit menyentuh perihal statusnya sebagai seorang mualaf sehingga dia ditegah untuk bersuara menyatakan pendapatnya.

“Saya hormat awak baru masuk Islam, tapi saya minta tolong hormat kami yang Melayu tulen (Islam). Senyap itu lebih baik daripada cakap benda-benda yang tidak berfaedah dan menyakitkan. Itu lagi bagus.

“Untuk orang yang baru convert (masuk Islam), Islam tidak ajar untuk bagi pandangan negatif atau cakap benda-benda yang boleh buat orang marah,” komen individu terbabit.

Lantaran itu, Michael, 44, membidas semula kenyataan tersebut dengan meminta individu terbabit supaya mengubah mentalitinya dan faham maksud yang cuba dia sampaikan.

“Wow saya baru tahu mualaf Malaysia tidak boleh bersuara. Tepuk pada manusia yang ada mentaliti seperti ini.

“Untuk makluman, semua manusia dalam dunia ini berhak untuk bersuara tidak kira bangsa dan agama,” tulis Michael.

Dakwa pengarah itu lagi, dia berpendapat bahawa individu tersebut terasa dengan kenyataannya tentang isu pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) yang dilakukan bukan sahaja membabitkan artis dan golongan ‘kayangan’ tetapi juga netizen.

Menerusi satu hantaran terdahulu, Michael mengecam tindakan sesetengah netizen apabila menyalahkan golongan selebriti kerana didakwa telah melanggar SOP ketika Aidilfitri sedangkan ramai juga netizen melakukan kesalahan serupa.

“Terimalah hakikat wahai rakyat Malaysia, tak payahlah nak menyumpah dan maki orang-orang yang dapat balik kampung beraya dalam IG (Instagram).

“Bukan artis atau golongan kayangan sahaja yang boleh rentas negeri. Banyak orang biasa (netizen) pun buat benda sama,” tulisnya.

Secara umum, Michael mengecam tindakan individu yang tidak bertanggungjawab mementingkan diri sendiri pulang ke kampung untuk beraya kerana jelas perkara tersebut jelas melanggar SOP yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan.

Walau bagaimanapun, Michael tidak bersetuju jika netizen hanya menuding jari sepenuhnya kepada selebriti dan golongan kayangan, kerana baginya rakyat biasa juga ada yang tidak mematuhi SOP namun ia tidak tertangkap oleh lensa kamera. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI