BARU dua tahun mengenal arus dunia hiburan sebenar, 1,001 cerita sedang mengisi lembaran kehidupan pengkarya muda bernama YonnyBoii. Peralihan fasa hidup. Itu yang dilalui jejaka berusia 23 tahun itu ketika ini.
Lembaran hidupnya berubah 180 darjah dan perkara tersebut turut menghadirkan suasana berbeza sambutan rayanya selaku selebriti yang dikenali ramai.
Raya sebagai artis
Bercakap kepada HibGlam, pemilik nama penuh Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin itu mengakui tetap teruja menyambut lebaran sebagai seorang anak seni pada tahun ini.
Mendedahkan tidak memiliki ramai kawan, kehadiran Syawal buat pelantun lagu Salahku itu tetap ceria dengan gelak tawa teman-teman seindustri.
“Sebelum menjejak kaki dalam industri, saya memang tidak mempunyai ramai kawan tetapi setelah bergelar penyanyi, alhamdulillah kenalan mulai bertambah.
“Seronok sebab dapat meraikan hari kemenangan umat Islam dengan rakan-rakan. Biarpun tidak dapat bertemu secara bersemuka, kiriman khabar dan ucapan selamat hari raya sudah cukup menggembirakan hati,” katanya.
Ujar jejaka berkulit sawo matang itu, walaupun sambutan Aidilfitri pada tahun ini masih berada bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), perkara tersebut tidak melumpuhkan keseronokannya meraikan hari raya.
“Meskipun kita semua tidak dibenarkan untuk pulang ke kampung halaman masing-masing, saya anggap tindakan tersebut untuk kepentingan semua pihak.
“Tidak dapat beraya di kampung, kawan-kawan masih ada, mereka juga seperti keluarga saya. Tiada apa yang perlu ditangisi. Saya masih Yonny yang sama, tak pernah rasa diri ini artis terkenal,” katanya yang merindui suasana berhari raya di kampungnya di Perak.
Lagu raya
Berbicara tentang Aidilfitri, Yonny juga tidak ketinggalan untuk merakam lagu raya, Rap Der Raya bersama beberapa orang penyanyi rap terbitan Def Jam Malaysia.
Rap Der Raya menampilkan enam orang penyanyi rap iaitu Yonny, Kmy Kmo, Luca Sickta, Siqma, Asyraf Nasir dan Abubakarxli.
Yonny yang merupakan tunjang utama lagu tersebut berkata, karya berkenaan telah ditambah ‘perisa’ oleh penyanyi lain seperti Luca Sickta.
“Seronok rakam lagu raya dengan lima penyanyi lain. Ini pengalaman pertama saya berkolaborasi dengan mereka.
“Akhirnya saya ada juga lagu raya walaupun berduet dengan penyanyi lain, yang penting muzik kami ‘lari’ daripada kebiasaan lagu raya sedia ada,” kongsinya.
Rasa dihargai
Sudah lumrah seorang manusia, pasti akan berasa bangga apabila dihargai orang sekeliling. Itu yang dilalui Yonny ketika nama menjadi sebutan ramai sejak naskhah-naskhah nukilannya mula diterima masyarakat.
Lebih membuatkan dirinya terasa dihargai ialah apabila muzik-muziknya menjadi siulan peminat.
“Saya enggan hanyut dengan pujian tetapi bersyukur kerana ramai yang menghargai diri dan karya saya.
“Paling saya rasa orang sudah menerima muzik saya ialah ketika ramai luahkan rasa terkilan apabila lagu Sakit, tidak layak ke pentas akhir Anugerah Juara Lagu ke-35 lalu.
“Ketika itu saya mula terfikir rakyat Malaysia sudah menerima baik muzik saya walaupun bunyinya berbeza daripada orang lain dan sangat eksperimental,” tuturnya lagi.
Bagi memperbaiki mutu karya dan persembahan, penyanyi yang juga merupakan penghidap Sindrom Kurang Daya Tumpuan dan Hiperaktif (ADHD) itu turut menghadiri kelas vokal bersama guru muzik terkenal, Cikgu Shafi.
“Saya nekad mahu memperbaiki dan menambah baik tahap persembahan serta kualiti nyanyian.
“Cikgu Shafi memahami apa yang saya perlukan. Dia membantu menguatkan mutu nyanyian saya,” katanya.
Album
Sama seperti penyanyi lain, anak kelahiran Perak itu memasang impian untuk memiliki sebuah album penuh. Akur dengan situasi semasa industri muzik tanah air, dia bagaimana terpaksa menangguhkan hasrat tersebut buat masa ini.
“Ikut perancangan, saya dijadualkan melancarkan sebuah album penuh dengan 10 lagu baharu tetapi sayangnya, tahun 2021 bermula dengan banyak peristiwa menyedihkan. Semuanya terpaksa ditunda.
“Namun, selepas difikirkan semula, waktu sekarang tidak sesuai untuk keluarkan album. Mungkin bila tiba waktu yang tepat, album tersebut akan ada dalam genggaman peminat,” ujarnya yang bakal meluncurkan single pertama daripada album tersebut tidak lama lagi.
“Walaupun album akan ambil masa untuk dilancarkan, saya tetap akan keluarkan dahulu single pertama tidak lama lagi,” katanya mengakhiri perbualan.