PETALING JAYA – Selepas tiga kali melakukan ujian calitan, pelakon Puteri Sarah Liyana mengesahkan dirinya positif Covid-19 hari ini.
Puteri Sarah atau nama sebenarnya Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin berkongsi mengenai berita duka itu menerusi hantaran yang dimuat naik dalam Instagram petang tadi.
Menurut isteri kepada pelakon dan pengarah Syamsul Yusof itu, dia tidak menyangka akan dijangikiti wabak tersebut meskipun tidak menunjukkan sebarang simptom yang membimbangkan.
“Assalamualaikum semua, sebaik-baik kita menjaga prosedur operasi standard (SOP) dan tak campur orang, akhirnya kecundang juga.
“Saya merupakan individu daripada kategori C sebelum ini sebab menjalani penggambaran dan dua kali buat ujian calitan saya disahkan negatif.
“Paling menyedihkan, semalam buat lagi ujian calitan sebab saya tak ada deria rasa bila makan dan tak ada deria bau. Bila buat ujian calitan ketiga semalam, saya disahkan positif Covid-19,” tulisnya.
Pada hantaran sama, pelakon drama Sabarlah Duhai Hati itu turut mengambil kesempatan memohon maaf kepada ahli keluarga dan kontak rapat yang pernah bertemu dengannya sebelum ini.
“Saya minta maaf siapa yang kontak rapat dengan saya dari 10 Mei. Pergilah buat ujian calitan.
“Minta maaf kepada keluarga saya, suami dan anak-anak. Doakan kami semua. Jangan keluar rumah kalau tak ada apa-apa nak buat. Jaga diri semua,” ujarnya.
Terdahulu, Kosmo melaporkan beberapa selebriti tanah air antaranya Ashraf Muslim, Puteri Aishah, Alif Satar, Tiz Zaqiyah, Nora Danish, Nabila Huda dan Reen Rahim turut disahkan positif Covid-19. – K! ONLINE