fbpx

Polis panggil tujuh individu ziarah rumah ahli politik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KOTA BHARU – Tujuh individu dipanggil untuk memberi keterangan berhubung satu laporan mengenai aktiviti ziarah sempena Hari Raya Aidilfitri di sebuah rumah ahli politik di Machang, Khamis minggu lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, beliau mengesahkan bahawa polis telah menerima laporan berhubung perbuatan tujuh individu yang berusia antara 42 hingga 72 tahun itu pada Sabtu lalu.

“Polis menerima laporan orang awam selepas terdapat beberapa keping gambar seorang ahli politik bersama tetamu pada Hari Raya Aidilfitri pertama tersebar selain didapati mereka tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Siasatan akan dijalankan mengikut Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.

Antara individu yang dipanggil polis berhubung isu ziarah Aidilfitri baru-baru ini.

Menurut Shafien, setakat malam ini, hanya tujuh individu sahaja telah dipanggil untuk membantu siasatan kes tersebut.

Tambahnya, kes itu merupakan laporan pertama yang diterima oleh polis Kelantan mengenai perlanggaran SOP dengan melakukan aktiviti ziarah raya.

Terdahulu, tular beberapa keping gambar seorang pemangku ketua bahagian sebuah parti politik di Machang menerima tetamu di rumahnya pada Hari Raya Aidilfitri yang pertama.

Mereka bergambar secara berkumpulan dengan sekeping gambar dilihat memakai pelitup muka manakala sekeping lagi tidak memakai pelitup muka dengan tanpa penjarakan fizikal sejauh satu meter. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI