BAITULMUQADDIS – Tiga maut dan 140 tercedera dalam satu tunjuk perasaan yang diadakan oleh penduduk Palestin di sepanjang Tebing Barat dan timur Baitulmuqaddis pada hari yang dikenali sebagai ‘hari kemarahan’ bagi menunjukkan sokongan kepada penduduk Gaza, lapor akhbar The Sun hari ini.
Mereka yang terlibat berdepan dengan anggota polis Israel ketika tunjuk perasaan di pintu masuk Pagar Damascus di bandar lama itu, di mana pertembungan turut meningkat dalam beberapa minggu ini.
Sekurang-kurangnya sembilan orang ditahan kerana membaling batu dan botol ke arah polis Israel yang melepaskan gas pemedih mata dan meriam air.
Sementara itu, beberapa tunjuk perasaan turut diadakan di Tebing Barat yang menyaksikan penduduk Palestin bertindak membakar tayar dan melontar batu ke arah pusat pemeriksaan tentera Israel.
Tindakan itu dibalas tentera Israel dengan bertindak melepaskan gas pemedih mata ke arah penunjuk perasaan, namun penduduk bertindak mengutip kanister dan melempar ke arah tentera.
Dalam pada itu, turut tercetus adalah tunjuk perasaan di Sheikh Jarrah yang menyaksikan penduduk Palestin berterusan membantah pengusiran beberapa keluarga di kawasan kejiranan tersebut oleh tentera Israel bagi memberi laluan kepada pendatang haram Israel.
Polis Israel menggunakan bom bunyi untuk meleraikan kira-kira 200 penunjuk perasaan yang disifatkan sebagai ‘menyatakan sokongan terhadap keganasan’.
Menurut media rasmi Gaza, angka korban penduduk Palestin setakat ini mencecah 213 orang termasuk 61 kanak-kanak dan 36 wanita selain lebih 1,400 cedera.
Selain itu, hampir 450 bengunan di Semenanjung Gaza telah musnah atau rosak teruk, termasuk enam hospital dan sembilan pusat penjagaan kesihatan utama, kata agensi kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. – AGENSI