DUNGUN – Seorang penjaga stor yang tidak pulang ke rumah selepas waktu bekerja ditemui mati di dalam sebuah tandas di Stesen Janakuasa Elektrik Paka dekat sini malam tadi.
Mayat Abdul Raman Abu Bakar, 57, ditemui terbaring di dalam tandas tersebut oleh anggota polis bantuan stesen janakuasa berkenaaan pada pukul 8 malam.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, sebelum kejadian, mangsa didapati tidak pulang makan tengah hari di rumahnya seperti kebiasaan sehingga menimbulkan syak oleh isterinya.
“Isteri cuba menghubungi mangsa tetapi tidak berjawab. Dia semakin risau selepas suaminya masih tidak pulang ke rumah selepas waktu pejabat.
“Wanita itu kemudiannya meminta bantuan seorang polis bantuan di stesen janakuasa tersebut untuk mencari suaminya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Baharudin berkata, pencarian anggota polis bantuan di kawasan tandas berhampiran bilik stori terlihat kelibat kaki mangsa terjulur keluar dari pintu yang telah berkunci.
“Dia cuba memecahkan pintu tandas tersebut tetapi gagal sebelum memohon bantuan daripada Balai Bomba dan Penyelamat Paka sebelum mangsa berjaya dikeluarkan tidak lama kemudian,” katanya. – K! ONLINE