BEIJING – Pihak kejuruteraan China dilaporkan sedang membuat pemeriksaan ke atas sebuah bangunan pencakar langit di selatan China sehari selepas insiden yang mencetuskan panik dalam kalangan penduduk tempatan.
Plaza SEG setinggi 300 meter di bandar selatan Shenzhen dekat Hong Kong dikatakan tiba-tiba bergegar awal pagi semalam hingga membuatkan orang ramai bertempiaran lari menyelamatkan diri.
Pegawai pengurusan kecemasan China bagaimanapun menepis dakwaan bahawa kemungkinan gempa bumi sebagai penyebab goyangan di daerah Futian itu.
Pegawai mengatakan tidak ada gerakan yang dapat dikesan selepas gegaran itu dan tidak ada kerosakan keselamatan pada struktur utama dan lingkungan sekitar bangunan.
Bangunan itu berhenti bergegar ketika penghuni diarahkan untuk mengosongkan lokasi kejadian sebelum ia ditutup, lapor media pemerintah.
Insiden gegaran itu menjadi tular di media sosial Weibo apabila mengumpulkan lebih 780 juta tontonan dan ratusan ribu komen dengan ramai pengguna bimbang tentang standard pembinaan bangunan.
Siap dibina pada tahun 2000, menara ini merupakan rumah bagi syarikat elektronik utama serta pelbagai pejabat di pusat perniagaan Shenzhen, sebuah metropolis yang memiliki populasi 13 juta penduduk.
Ini adalah menara tertinggi ke-18 di Shenzhen, menurut pangkalan data Majlis Bangunan Tinggi dan pencakar langit Urban Habitat.
Pihak berkuasa China pada tahun lalu telah melarang pembinaan bangunan pencakar langit melebihi 500 meter, menambah sekatan ketinggian yang sudah dikuatkuasakan di beberapa bandar lain seperti Beijing. – AFP