SEREMBAN – Usahawan terkenal, Noor Neelofa Mohd. Noor atau Neelofa dan suaminya, Haris Ismail bakal berdepan dua pertuduhan di mahkamah esok.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superitenden Mohd. Fazley Ab. Rahman berkata, pasangan selebriti itu akan dituduh di bawah Peraturan 19 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan Kawalan Pergerakan).
Neelofa akan didakwa atas kesalahan gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) apabila tidak membuat imbasan aplikasi MySejahtera atau menulis secara manual untuk masuk ke premis.
“Haris didakwa atas dua pertuduhan iaitu gagal membuat imbasan aplikasi MySejahtera dan tidak memakai pelitup muka di tempat awam sebagaimana ditetapkan dalam SOP PKPB,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, hukuman bagi setiap pertuduhan adalah denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.
Polis menasihati orang ramai agar terus kekal mematuhi SOP yang dikeluarkan bagi memutuskan rangkaian Covid-19.
“Prinsip tiada individu yang mengatasi undang-undang adalah diutamakan dalam penguatkuasaan undang-undang,” katanya. – K! ONLINE