PETALING JAYA – Baru reda isu menjadi isteri kedua seorang menteri kanan, nama Datuk Nora Ariffin sekali lagi ‘naik’ apabila mengesahkan sudah dilamar.
Penyanyi itu menafikan
sudah mendirikan rumah tangga dengan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, sebaliknya individu lain dimaksudkan adalah bukan orang yang dikenali.
“Selepas fikir dengan teliti, rasanya sudah sampai masa untuk saya membuat pengumuman bahawa memang ada menerima lamaran daripada seseorang.
“Insya-Allah jika segala perancangan berjalan lancar, saya akan kongsikan hari bahagia itu dengan anda semua tidak lama lagi.
“Demi Allah, saya dan Tan Sri (Annuar) tidak bernikah. Saya sendiri tidak faham bagaimana ada pihak yang membuat tuduhan sedemikian.
“Sudah banyak kali saya nafi, Tan Sri juga sudah menafikannya, namun, masih ada yang nampaknya tidak percaya,” katanya menerusi temu bual dengan Astro Awani X Gempak, semalam.
Terdahulu, sejak semalam tular di media sosial mengenai satu salinan sijil pernikahan bercop Songhkla, Thailand yang didakwa milik kedua-dua figura popular terbabit.
Turut tular adalah beberapa gambar Annuar mengenakan jubah putih di satu majlis yang kononnya berkaitan dengan pernikahan seperti didakwa sesetengah pihak.
Sebelum ini, balu komposer terkenal, Allahyarham Johan Nawawi itu pernah tampil menepis dakwaan dirinya bernikah dengan Ahli Parlimen Ketereh berkenaan.
Menerusi temubual sama, Nora menyatakan sedia membuka pintu harinya kembali selepas berfikir secara mendalam selain mendapat restu keluarga termasuk ibu mentua dan anak-anak.
“Anak-anak ada berkata, mereka akan memberi sokongan terhadap apa jua keputusan yang baik buat saya. Mereka hanya mahu melihat ibu mereka gembira.
“Allahyarham ibu mentua saya juga pernah berpesan, jika ada lelaki yang melamar, cubalah terima. Alhamdulillah, berkat restu dan sokongan anak-anak serta keluarga, saya kini bersedia menerima lamaran itu,” katanya.
Penyanyi Di Persimpangan Dilema itu mengahwini Allahyarham Johan Nawawi pada 1992 dan dikurniakan empat cahaya mata.
Allahyarham meninggal dunia pada 24 Mac 2017 pada usia 52 tahun akibat serangan jantung, manakala anak kedua mereka, Muhammad Syakir Aliff pula menghembuskan nafas terakhir pada usia 20 tahun, dua tahun kemudian.