LE MANS – Pengurus pasukan Repsol Honda, Alberto Puig mengakui masih banyak masa yang diperlukan oleh pelumba utama pasukan, Marc Marquez untuk mendapatkan rentak sebenar selepas mempamerkan aksi hambar pada Grand Prix (GP) Perancis minggu lalu.
Pada perlumbaan lepas, Marquez yang juga juara dunia MotoGP enam kali gagal menamatkan saingan selepas terbabas sekali gus sekali gus membuktikan bahawa dirinya masih belum cergas sepenuhnya selepas kembali daripada kecederaan panjang.
Kata Puig, pelumba kelahiran Sepanyol itu telah bekerja keras sepanjang perlumbaan, tetapi nasib masih belum memihak kepadanya apabila jentera yang dipacu gagal menamatkan saingan kali ini.
“Rumusan yang boleh saya buat adalah Marquez telah memberikan yang terbaik kerana dia sememangnya memiliki mentaliti seorang juara walaupun keadaan fizikalnya masih belum cergas sepenuhnya.
“Semangat jati diri yang ada padanya ditambah dengan keyakinan membara sudah cukup buatnya mempamerkan perlumbaan berkualiti dan saya percaya dia akan kembali berada di prestasi sebenar tidak lama lagi,” katanya.
Sementara itu, Puig mengakui antara faktor lain yang mengakibatkan Marquez gagal menyerlah adalah jentera baharu pasukan RC213V masih belum mencapai tahap piawaian untuk bersaing di peringkat kompetitif pada musim ini.
“Saya mahu jurutera dan mekanik kami terus berusaha mencari kelemahan jentera pasukan kali ini kerana jelas kami gagal memberi saingan diharapkan.
“Justeru, kebangkitan lebih positif perlu dicatat pada perlumbaan akan datang,” katanya. – AGENSI