PETALING JAYA – Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam Awam (Cuepacs) menggesa kerajaan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara penuh sekurang-kurangnya dalam tempoh 21 hari.
Presidennya, Adnan Mat berkata, gesaan ini dibuat memandangkan situasi semasa yang menyaksikan perkhidmatan kesihatan negara berhadapan dengan cabaran yang terlalu dahsyat untuk merawat pesakit Covid-19.
Beliau berkata, tempoh 21 hari itu adalah tempoh yang paling minima bagi membolehkan langkah paling drastik dilaksanakan kerajaan untuk mengekang penularan Covid-19.
“Sekiranya kerajaan masih lagi menggunakan prosedur operasi standard (SOP) semasa bagi mengekang penularan Covid-19, Cuepacs bimbang perkhidmatan kesihatan negara akan menjadi lumpuh sekali gus mengundang darurat kesihatan yang serius kepada negara.
“SOP sedia ada yang dilaksanakan dalam PKP 2.0 dan PKP 3.0 ketika ini dilihat tidak berkesan mengurangkan jangkitan Covid-19 bahkan ia dilihat semakin meningkat setiap hari,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Adnan berkata, trend peningkatan kes disebabkan terdapat banyak pergerakkan orang ramai yang tidak dapat dikawal berikutan kepentingan atau permasalahan ekonomi.
Disamping itu, terdapat juga kelemahan masyarakat dalam mematuhi SOP yang telah ditetapkan kerajaan.
“Pelaksanaan PKP secara penuh seperti 18 Mac lalu mungkin nampak terseksa kepada rakyat tetapi lebih menyeksakan lagi adalah pelaksanaan PKP ‘sekejap buka sekejap tutup’ yang menyaksikan ekonomi semakin perlahan, pendidikan anak-anak terabai dan kadar pengangguran meningkat.
“Ditambah lagi dengan penularan varian berbahaya daripada Afrika dan India di Malaysia ketika ini, PKP penuh ini diyakini dapat memastikan negara kembali dilandasan yang terbaik,” katanya. – K! ONLINE.