fbpx

KPLB nafi ada gerakan lantik KP Jakoa bukan Orang Asli

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menafikan dakwaan terdapat gerakan dalam kalangan pegawai kementerian itu untuk memastikan pelantikan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) diberikan kepada individu yang bukan masyarakat Orang Asli.

Menterinya, Datuk Abd. Latiff Ahmad berkata, kementerian sedang mengenal pasti calon-calon yang bersesuaian untuk mengisi kekosongan jawatan Ketua Pengarah Jakoa yang masih kosong ketika ini selepas Prof. Dr. Juli Edo bersara pada April lalu.

Beliau berkata, pencalonan Ketua Pengarah Jakoa dijalankan mengikut prosedur yang ditetapkan di bawah kuasa Yang di-Pertuan Agong seperti yang termaktub dalam Seksyen 5, Akta 134, Akta Orang Asli 1954.

“Oleh yang demikian, isu penjawat awam melantik pengganti Ketua Pengarah adalah tidak benar kerana setakat ini proses perbincangan dan penelitian masih berjalan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan Ahli Parlimen Cameron Highland, Ramli Mohd. Nor yang mendakwa ada gerakan oleh pegawai KPLB untuk mencatur dan berusaha agar jawatan nombor satu dalam Jakoa diberikan kepada seseorang daripada keturunan lain.

Abd. Latiff berkata, masyarakat Orang Asli sentiasa menjadi pilihan utama KPLB untuk dicalonkan sebagai Ketua Pengarah selaras dengan Perlembagaan Persekutuan Perkara 8 (5)(C) untuk melantik Orang Asli daripada jawatan-jawatan bersesuaian dalam perkhidmatan awam.

Katanya, pemilihan calon itu tidak dibuat secara rawak tetapi berdasarkan kepakaran termasuk berpengalaman yang luas serta mahir dalam aspek pentadbiran jabatan.

“Calon juga perlu berkemahiran dalam pengurusan kewangan, pengurusan projek pembangunan dan sosio-ekonomi serta mempunyai jaringan kerjasama yang erat di antara jabatan di peringkat persekutuan, negeri mahupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO),” jelasnya.

Sementara itu, Abd. Latiff berkata, pandangan dan bantuan yang disalurkan oleh semua pihak dapat membantu kementerian dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab kepada masyarakat Orang Asli.

Beliau turut berterima kasih kepada semua agensi kerajaan, NGO serta individu yang prihatin dengan masyarakat Orang Asli.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI