fbpx

[KEMASKINI] Mayat kanak-kanak lemas ditemui

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Operasi mencari mangsa yang hilang diteruskan sehingga pukul 3 pagi sebelum disambung semula dan mayat mangsa ditemui pukul 9.35 pagi tadi.

MELAKA – Dua kanak-kanak ditemui lemas selepas bermain di kawasan tali air di Lorong Hasji Masri, Kampung Gelam, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu, mangsa, Muhammad Fakrullah Rozami, 9, ditemui lemas pada pukul 6.15 petang semalam, manakala rakannya Badrol Azhan Nizam Bachik, 9, ditemui pada pukul 9.35 pagi tadi.

Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Penguasa Bomba Zulkhairani Ramli berkata, panggilan kecemasan diterima pada pukul 8.46 malam dan seramai 20 anggota dikejarkan ke tempat kejadian.

Katanya, setiba di lokasi pihaknya dimaklumkan mayat Muhammad Fakrullah terlebih dahulu telah dijumpai oleh bapanya selepas kembar kanak-kanak itu, yang turut bermain bersama-sama cuba mendapatkan pertolongan daripada seorang pekebun di kawasan berhampiran.

“Pasukan kami kemudian memulakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa kedua yang dilaporkan hilang di dalam kawasan tali air pada radius 100 meter dari lokasi kejadian dan di darat melibatkan jarak kira-kira 1.6 kilometer ke kawasan perumahan.

“Mangsa kemudian berjaya dikesan oleh pasukan Multi-Skill Team (MUST) yang ternampak kepalanya terapung di dalam tali air berdekatan tempat mangsa pertama ditemui pada pukul 9.35 pagi tadi,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Zulkhairani berkata, mangsa pertama ditemui dengan keadaan kakinya terikat pada plastik di dalam tali air tersebut.

“Difahamkan ayah mangsa terpaksa memotong plastik yang terikat pada kaki anaknya, namun kanak-kanak itu disahkan telah meninggal dunia.

“Pada awal operasi SAR, kita juga percaya mangsa kedua terselamat berdasarkan maklumat diperolehi yang memaklumkan kanak-kanak tersebut hanya hilang selepas kejadian berlaku, namun amat menyedihkan apabila pasukan menemuinya turut lemas di tempat kejadian,” katanya.

Ujarnya, sepanjang pencarian, pasukannya berdepan dengan kesukaran untuk memeriksa setiap kawasan ekoran hari gelap dan beberapa kawasan ditenggelami air banjir.

Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan tentang kejadian yang menimpa sepasang kembar serta seorang rakan mereka yang lemas selepas bermain di kawasan tali air di Lorong Hasji Masri, Kampung Gelam, di sini, semalam.

Salah seorang daripada pasangan kembar berkenaan bagaimanapun terselamat dan mendapatkan bantuan daripada orang awam yang berada tidak jauh daripada lokasi kejadian.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI