fbpx

Kanak-kanak maut, seorang hilang selepas bermain di tali air

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Badrul

MELAKA – Keseronokkan sepasang kembar bermain di tali air berakhir tragedi apabila salah seorang daripadanya maut, manakala seorang lagi rakan mereka dilaporkan hilang dalam kejadian di Lorong Hasji Masri, Kampung Gelam, di sini, semalam.

Dalam insiden kira-kira pukul 6 petang itu, mangsa, Muhammad Fakrullah Rozami, 9, ditemui meninggal dunia di tempat kejadian manakala kembarnya, Muhammad Fakhruddin bagaimanapun terselamat.

Rakan mereka, Badrul Azhan Nizam, 9, turut dipercayai selamat, namun kanak-kanak itu dilaporkan hilang selepas insiden berkenaan berlaku dan operasi pencarian sedang dilakukan oleh pasukan bomba.

Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Penguasa Bomba Zulkhairani Ramli berkata, panggilan kecemasan mengenai kanak-kanak hilang diterima pada pukul 8.46 malam dan seramai 20 anggota dikejarkan ke lokasi.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah dilakukan di dalam kawasan tali air pada radius 100 meter dari lokasi kejadian dan pencarian di darat melibatkan jarak kira-kira 1.6 kilometer ke kawasan perumahan.

“Setakat ini kita masih belum menjumpai sebarang petunjuk keberadaan kanak-kanak tersebut termasuk pemeriksaan di pondok-pondok kecil di kawasan tali air dan lokasi sekitar dipercayai sering dikunjungi mangsa,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya dimaklumkan ketika kejadian mangsa bermain di kawasan tali air itu bersama rakannya yang juga merupakan pasangan kembar.

“Semasa bermain, Fakrullah dikatakan telah lemas menyebabkan kembarnya dan Badrul bertindak meminta bantuan daripada seorang pekebun warga emas yang turut berada di kawasan berhampiran.

“Pekebun tersebut kemudian memaklumkan perkara tersebut kepada ahli keluarga mangsa dan bapanya telah ke lokasi sebelum menjumpai anaknya di dalam tali air tersebut dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya.

Tambahnya, pihaknya turut difahamkan bahawa Muhammad Fakrullah ditemui dengan keadaan kakinya terikat pada plastik di dalam tali air tersebut, yang terletak berhampiran dengan kebun ayahnya.

Jelasnya, pasangan kembar yang terselamat telah dibawa pulang oleh keluarga, namun Badrul masih tidak dapat dikesan selepas kejadian tersebut.

“Operasi mencari Badrul akan diteruskan sehingga kita menjumpainya atau sekurang-kurangnya mendapat petunjuk,” ujar beliau.

Tinjauan Kosmo! dilokasi mendapati operasi SAR itu masih diteruskan setakat pukul 2 pagi tadi.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI