fbpx

Kanak-kanak lembam lemas mandi di sungai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mayat mangsa dihantar ke Unit Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk dibedah siasat.

MELAKA – Seorang kanak-kanak kelainan upaya (OKU) lembam ditemui lemas selepas keluar mengikut abangnya bersama dua rakan yang lain bermandi-manda di Sungai Tambak Paya, di sini, petang tadi.

Mangsa, Muhammad Faris Firdaus Mohd. Sabri, 11, berjaya ditemui Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) bomba kira-kira pukul 4.50 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Azfanizar Ahmad berkata, hasil soal siasat kesemua saksi termasuk abangnya, mangsa dilihat terkapai-kapai selepas terjun ke dalam sungai kira-kira pukul 3.40 petang.

“Ketika kejadian abang mangsa berusia 18 tahun turut terjun bagi menyelamatkan adiknya, namun gagal sebelum dia meminta bantuan orang awam yang lalu di kawasan tersebut untuk menghubungi pasukan bomba dan polis,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Jelasnya, sepasukan pegawai dan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Katil serta Melaka Tengah tiba di lokasi pada pukul 3.50 petang bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

“Pasukan PPDA bomba berjaya menjumpai mangsa kurang 15 meter daripada jarak tempat dia terjun namun mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang turut berada di lokasi kejadian,” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa telah dibawa ke Unit Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat.

“Mangsa yang merupakan seorang pemegang kad OKU lembam adalah korban ketiga selepas kejadian pertama yang meragut nyawa dua kanak-kanak berusia sembilan tahun di tali air di Kampung Gelam, Tanjung Kling, lewat petang semalam.

“Kami ingin mengingatkan kepada ibu bapa agar mengawasi pergerakan anak masing-masing bagi mengelak tragedi seperti ini berlaku lagi,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI