fbpx

“Hati saya kuat mengatakan dia berada di dalam tali air,” – Ibu Azhan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rohana tidak dapat menahan sebak ketika ditemui di Unit Jabatan Forensik Hospital Melaka, di sini, hari ini.

MELAKA – “Saya dan suami mencari Azhan (Badrol) sehingga pukul 3 pagi tadi dan setiap kali melalui kawasan tali air, hati saya kuat mengatakan dia ada di situ,” kata ibu mangsa lemas, Badrol Azhan Nizam Bachik, 9.

Badrol dan rakan karibnya, Muhammad Fakrullah Rozami, 9, ditemukan lemas di dalam tali air di Kampung Gelam, Tanjung Kling, selepas keluar bermain bersama-sama petang semalam. Turut berada di lokasi adalah kembar Muhammad Fakrullah, Muhammad Fakhruddin, 9, yang terselamat.

Menurut Rohana Sukiman, 43, sikap Azhan yang tiba-tiba berubah menjadi sangat manja sehingga mencium pipinya berkali-kali adalah petanda anak bongsu daripada empat beradik itu akan pergi meninggalkannya.

“Dalam minggu ini, Azhan selalu cium pipi saya dan jadi sangat manja. Walaupun umurnya sembilan tahun, namun setiap hari dia akan tidur bersama-sama saya dan suami, Bachik Bakar 43.

“Mula-mula saya dapat tahu Fakrullah ditemukan lemas kira-kira pukul 6.15 petang semalam melalui kumpulan WhatsApp Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), saya bergegas ke rumah ibu bapanya bertanya tentang Azhan.

“Mereka beritahu, Azhan ikut bermain sekali. Saya tidak sangka dia juga ‘pergi’ apabila jasadnya ditemui di tali air sama pada pukul 9.35 pagi tadi oleh pasukan Multi-Skill Team (MUST),” katanya ketika ditemui di Jabatan Unit Forensik Hospital Melaka, di sini hari ini.

Tambahnya, ketiga-tiga kanak-kanak tersebut merupakan rakan sekelas dan membesar di kejiranan yang sama.

“Mereka memang selalu main di kawasan kebun itu, namun disebabkan kejadian banjir semalam, air di kawasan itu naik sehingga 1.8 meter,” katanya.

Sementara itu, bapa Muhammad Fakrullah, Rozami Mat Hassan, 47, berkata, sebelum kejadian anak kembarnya itu sempat mengikutnya ke kebun pada waktu pagi dan pulang ke rumah yang terletak 500 meter untuk makan tengah hari.

“Fakhrullah makan nasi lauk ikan goreng dan menjamah pau yang dihidangkan, malah sikapnya juga seperti biasa.

“Saya kemudian masuk ke dalam bilik untuk berehat sebelum tiba-tiba dikejutkan dengan kedatangan orang kampung memaklumkan Fakrullah lemas di tali air ketika bermain di kebun bersama Fakhruddin dan Azhan,” katanya.

Ujarnya, dia kemudian bergegas ke lokasi dan melihat Fakhruddin berdiri tepi tali air menunjukkan tempat adiknya lemas sambil memberitahu Azhan sudah berlari ke arah rumah.

“Tanpa berfikir panjang, saya terus terjun ke dalam air untuk menyelamatkan anak dan dapat memeluk tubuhnya.

“Mulutnya ketika itu sudah berbuih, namun saya tetap memberikan bantuan pernafasan sebelum membawanya ke sebuah klinik di Tanjung Kling dan disahkan telah meninggal dunia,” katanya yang merupakan pesara tentera.

Katanya, dia tidak sangka Azhan yang telah dianggapnya sebagai anak sendiri kemudian turut ditemui lemas di kawasan sama.

Menurutnya, kedua-dua jenazah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gelam selepas solat Zuhur.

Terdahulu, Kosmo! Online hari ini melaporkan tentang kejadian melibatkan sepasang kembar dan seorang rakan mereka ketika bermain di kawasan tali air di Kampung Gelam, Tanjung Kling, di sini.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI