PETALING JAYA – Pengendali aplikasi pintar, Grab memperkenalkan GrabFood Small Business Programme, bertujuan membantu peniaga kecil makanan menyesuaikan diri dengan peningkatan permintaan perkhidmatan penghantaran.
Pengarah Urusan Grab Malaysia, Sean Goh berkata, program itu merangkumi tiga bidang utama, iaitu penyelesaian dalam talian, kempen pemasaran dan peluang pembelajaran serta pembangunan untuk perniagaan kecil.
Menurut beliau, penyelesaian secara online itu melibatkan pelancaran Grab Online Shop pada Jun ini, yang akan membolehkan perniagaan kecil GrabFood memiliki laman sesawang sendiri dengan URL unik sebagai saluran jualan tambahan.
Jelasnya, kedai secara online itu akan diintegrasikan dengan GrabPay dan GrabRewards, manakala penghantaran disempurnakan oleh rakan penghantar Grab.
“Sempena pengenalan program ini, rakan peniaga boleh menikmati caj perkhidmatan sifar peratus sehingga akhir tahun 2021.
“Selain itu, Grab menganjurkan GrabFood Small Business Week selama seminggu setiap bulan, bagi mengetengahkan perniagaan kecil dalam GrabFood bermula 25 Mei hingga 7 Jun ini.
“Siri webinar GrabFood Small Business akan turut diadakan bagi membincangkan topik termasuk tip memaksimumkan keberadaan dalam talian menggunakan perkakasan percuma, menggunakan data sebagai maklumat untuk meningkatkan aliran trafik dan strategi tambah baik menu,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.
Sementara itu, Goh menjelaskan, ketika perniagaan makanan terjejas akibat pandemik, ia turut memberi pihaknya gambaran mengenai keperluan peniaga dalam usaha mendepani tempoh sukar kini.
“Kajian menunjukkan pengguna cenderung menggunakan perkhidmatan digital pada masa depan dan kami yakin teknologi dan keupayaan Grab mampu menawarkan penyelesaian jangka panjang kepada peniaga kecil,” ujarnya.