ALOR SETAR – Kalangan pekerja dalam sektor perkhidmatan perlu yang berada dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan bertugas dalam kawasan sama tidak perlu membuat ujian saringan Covid-19 untuk keluar bertugas.
Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Mohd. Fikri Ujang berkata, pengecualian sama turut diberikan kepada golongan itu yang berada di luar kawasan PKPD dan perlu bekerja di kawasan berkenaan.
“Mengikut prosedur operasi standard (SOP) am PKPD mengenai kawalan pergerakan, terdapat beberapa kumpulan perkhidmatan perlu yang disenaraikan untuk saringan Covid-19 sebelum dibenarkan bekerja.
“Namun begitu, pengecualian saringan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Kedah diberikan kepada dua kategori perkhidmatan perlu tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Pelaksanaan PKPD di Bandar Darulaman dan Lubuk Kawah bermula semalam manakala PKPD di 28 mukim dalam daerah Kota Setar pula bermula hari ini.
Kata beliau, bagi pekerja perkhidmatan perlu yang berada dalam kawasan PKPD dan mahu keluar bertugas di luar kawasan PKPD tetap perlu melakukan ujian saringan.
“Saringan Covid-19 akan diberikan secara percuma kepada golongan tersebut.
“Mereka dibenarkan hadir secara terus ke klinik kesihatan kerajaan berhampiran tempat tinggal masing-masing dalam kawasan PKPD antara pukul 8 pagi hingga 1 tengah hari,” tambahnya.
Sebarang pertanyaan boleh berhubung dengan BIlik Gerakan Pejabat Kesihatan Daerah Kota Setar di talian 019-4053711, Bilik Gerakan Pejabat Daerah Kubang Pasu di talian 0194084011 serta Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) Jabatan Kesihatan Negeri Kedah di talian 04-7741174. – K! ONLINE