fbpx

Bertengkar kerana parkir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar video tular yang memaparkan pertengkaran membabitkan dua pihak mengenai isu tempat letak kereta di Subang Jaya baru-baru ini.

SUBANG JAYA – Kawasan perumahan di sekitar USJ 1, Subang Jaya bertukar kecoh selepas berlaku pertengkaran membabitkan sekumpulan individu disyaki warga asing dan seorang lelaki warga tempatan disebabkan kereta milik salah seorang warga asing itu menghalang laluan jalan pada Sabtu lalu.

Menerusi sebuah video yang tular berdurasi 55 saat di media sosial itu memaparkan sekumpulan warga asing bertengkar akibat tidak berpuas hati kerana lelaki warga tempatan berkenaan membunyikan hon.

Berdasarkan kenyataan yang tular, kumpulan warga asing terbabit turut menghubungi seorang ‘Abang Long kawasan’ yang mendakwa ‘pegang’ Polis dan Imigresen termasuk mencabar mangsa membuat laporan kepada pihak berkuasa bagi menyelesaikan perkara tersebut.

Difahamkan, kejadian berlaku kira-kira pada pukul 1.30 petang pada Sabtu lalu, mangsa yang berusia 34 tahun itu juga telah diarah untuk meminta maaf kepada warga asing terbabit.

“Pertengkaran berlaku selepas sebuah kereta jenis Proton Perdana milik salah seorang jiran warga asing terbabit menghalang laluan menyebabkan pemandu kereta membunyikan hon.

“Seorang lelaki berbaju merah berusia 43 tahun telah keluar sebelum diikuti rakan-rakannya dan memarahi pemandu kereta terbabit selepas lelaki tersebut menegur tindakannya menghalang laluan kenderaan,” kata kenyataan tersebut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd. Khalid Othman berkata, pihaknya telah menerima laporan polis yang dibuat kedua-dua pihak di Balai Polis Subang Jaya pada hari kejadian.

“Punca kejadian adalah disebabkan perselisihan faham mengenai isu tempat letak kereta sehingga menyebabkan kesesakan di jalan dalam perumahan tersebut.

“Salah satu pihak telah memuat naik video berdurasi dua minit 29 saat di laman Facebook dan telah dikongsi beberapa kali sehingga menyebabkan ia tular sebelum dipadam dari media sosial,” jelasnya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Semua pihak terlibat telah dipanggil untuk melengkapkan siasatan. Siasatan akan dijalankan secara terperinci dan menyeluruh. -K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI