SIBU — Seorang anggota polis yang telah didakwa membunuh rakan sekerjanya pada 6 Mei lalu dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Tertuduh, Mohamad Nur Alif Mazlan, 28, didakwa telah membunuh Norhalim Tumiran, 24, antara pukul 5.45 petang hingga 6.30 petang di sebuah rumah sewa di Lorong Permai Timur 9 di sini pada hari kejadian.
Tiada pengakuan diambil daripada tertuduh semasa pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Hazwani Hanim Ramli.
Dengan pertuduhan terbabit, Mohamad Nur Alif didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun, dua lagi rakannya yang juga anggota polis, yang turut didakwa sebelum ini telah dibebaskan oleh mahkamah pada hari yang sama dan mereka yang masing-masing berusia 21 dan 23 tahun akan dipanggil menjadi saksi pihak pendakwaan bagi kes itu.
Pendakwaan kes dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Rex Heng Yi Min dan Mohamad Zulfadhli Tuah manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela dengan mahkamah menetapkan 6 Julai ini untuk sebutan semula kes.
Menurut laporan sebelum ini, mangsa telah ditemui mati dengan kesan tembakan pada bahagian atas telinga kanan dan masih terduduk di atas sofa di dalam rumah terbabit pada hari kejadian.
Mangsa adalah pegawai polis yang baru sahaja dipindahkan ke Unit Rondaan Bermotosikal di Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti di sini selama sebulan setengah dan meninggalkan seorang isteri dan anak yang berusia setahun. K! ONLINE