KUALA NERUS – Seramai 457 pelajar dan 1,438 kakitangan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dikenal pasti sebagai kontak rapat kes positif Covid-19.
Naib Canselor UniSZA, Prof. Datuk Dr. Hassan Basri Mat Awang Dahan berkata, kesemua mereka yang menjalani proses kuarantin telah melakukan ujian saringan Covid-19.
Menurut beliau, langkah berkenaan diambil segera bagi mengawal penularan virus Covid-19 di dua kampus UniSZA iaitu Gong Badak dan Perubatan, Kuala Terengganu.
“Selain itu, sesi Pembelajaran dan Pengajaran (PdP) akan diadakan secara atas talian manakala kakitangan UniSZA pula diarahkan bekerja dari rumah sehingga 30 Mei ini.
“Pasukan terlatih, Covid Buster UniSZA telah melakukan aktiviti sanitasi di kampus Gong Badak, Perubatan dan Besut,” katanya pada sidang akhbar yang diadakan secara maya di sini hari ini.
Kosmo! Online semalam melaporkan kampus UniSZA di Gong Badak di sini telah diarahkan tutup selama 14 hari oleh Jabatan Kesihatan Terengganu mulai Isnin lalu.
Ia disebabkan Kluster Gong Badak yang berpunca daripada seorang kakitangan UniSZA yang disahkan positif Covid-19 pada dua hari lalu. – K! ONLINE