fbpx

1,758 aduan diterima libat Program PenjanaKerjaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Saravanan.

PUTRAJAYA – Kementerian Sumber Manusia (KSM) menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menerima 1,758 kes aduan setakat semalam melibatkan bayaran meragukan dan isu bayaran gaji pekerja oleh majikan bagi memohon insentif kewangan Program PenjanaKerjaya.

Menterinya, Datuk Seri M. Saravanan berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 1,231 kes aduan didapati tidak berasas manakala, sebanyak 340 kes disyaki tuntutan palsu dan salah guna manakala baki 187 kes lagi masih dalam siasatan untuk tindakan selanjutnya.

“Perkeso juga telah menerima sejumlah RM85.1 juta melibatkan lebih 8,000 majikan yang gagal memenuhi syarat-syarat ditetapkan di bawah Program Subsidi Upah,” jelasnya pada sidang akhbar yang diadakan secara maya hari ini.

Saravanan berkata, majikan terbabit telah membuat bayaran balik kepada Perkeso dan pihaknya memandang serius isu tersebut dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana majikan yang membuat tuntutan palsu.

“Saya juga mengarahkan pihak Perkeso untuk meminta majikan memulangkan semula semua wang yang telah dibayar kepada majikan tersebut sekiranya terdapat sebarang unsur pemalsuan,” katanya.

Beliau berkata, pihak Perkeso juga mengesan satu video mendakwa kewujudan sindiket melibatkan sebuah syarikat yang dituduh menggunakan data pekerja untuk mendapatkan insentif PenjanaKerjaya 2.0.

Katanya, video tersebut memaparkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabai, Kamache Doray Rajoo.

“Saya dimaklumkan pihak Perkeso telah meneliti dakwaan itu dan siasatan awal mendapati ada majikan yang tidak bertanggungjawab dan mencuba membuat permohonan palsu Program Insentif Pengambilan Pekerja dan Program Latihan di bawah Program PenjanaKerjaya 2.0.

“Rekod Perkeso mendapati caruman pekerja telah dibayar oleh majikan namun ia merupakan satu taktik yang diguna pakai bagi mematuhi syarat kelayakan dalam permohonan program tersebut,” katanya.

Tambahnya, majikan juga didapati telah membuat penipuan dokumen setelah borang pengesahan diterima oleh pegawai Perkeso dengan 36 orang pekerja menandatandatangani dan mengesahkan bahawa mereka masih bekerja di syarikat terbabit.

“Kes ini kini dalam siasatan Anti-Fraud, Cawangan Etika dan Pematuhan dan sekiranya perlu akan dirujuk kepada agensi penguat kuasa dan Perkeso telah menasihatkan Kamache untuk membuat laporan polis dengan kadar segera untuk siasatan lanjut,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI