fbpx

12 warga Myanmar ditahan guna bot nelayan tempatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian nelayan warga Myanmar yang ditahan Maritim Malaysia di kedudukan 19 batu nautika Barat Daya Pulau Kendi, Pulau Pinang di sini semalam.

GEORGE TOWN – Maritim Malaysia (APMM) menahan tiga buah bot nelayan tempatan yang dinaiki 12 nelayan warga Myanmar di kedudukan 19 batu nautika Barat Daya Pulau Kendi dekat sini semalam.

Mereka terdiri kru dan tekong berusia antara 20 hingga 48 tahun itu diberkas semasa leka melakukan aktiviti menunda ikan di kawasan perairan tersebut kira-kira pukul 10 pagi.

Kelibat tiga buat bot berkenaan dikesan Kapal Maritim (KM) Burau menerusi rondaan bersepadu Ops Benteng Laut dan Ops Pertiwi.

Pengarah Maritim Negeri, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, pemeriksaan mendapati setiap bot masing-masing dikendalikan empat kru termasuk tekong warga asing.

“Kesemua 12 kru warga Myanmar itu tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah serta gagal menunjukkan permit kerja daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

“Mereka beserta bot yang dinaiki kemudiannya dibawa ke Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Batu Maung untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Negeri untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau memberitahu, kes tersebut akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 serta Akta Imigresen 1959/63.

Justeru jelasnya, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak dalam menguatkuasakan undang-undang dan akan mengambil tindakan yang sewajarnya.

“Pengusaha atau pemilik bot dinasihatkan agar mematuhi undang-undang demi memastikan kesejahteraan perairan negara,” ujarnya lagi.

Tambah beliau, orang ramai dan komuniti maritim disarankan agar menyalurkan laporan berkenaan sebarang aktiviti jenayah di laut menerusi panggilan terus ke Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626146 atau MERS 999.- K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI