ALOR SETAR – Mana-mana individu dari kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) perlu menjalani ujian calitan dan disahkan negatif Covid-19 sebelum dibenarkan keluar dari kawasan tersebut untuk sebarang urusan termasuk pekerja dalam sektor perkhidmatan perlu.
Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, itu antara prosedur operasi standard (SOP) yang perlu diperketatkan sebagai langkah mengekang penularan jangkitan tersebut ke kawasan lain.
“Ada yang bekerja di sektor perkhidmatan perlu ini mereka boleh keluar tetapi dengan syarat kalau dia keluar bekerja di luar kawasan PKPD dia kena buat ujian calitan, kena tunjuk bukti dia negatif baru boleh keluar.
“Kalau dia bekerja di kawasan PKPD boleh bekerja dan balik di kawasan itu saja. Kita takut dia bawa keluar jangkitan, kita nak dia duduk dalam kawasan PKPD sahaja kalau ada jangkitan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir bagi penyerahan sumbangan untuk Tabung Bantuan Palestin Badan Perhubungan Pas Kedah di Kompleks Pas Batu 9 di sini hari ini.
Pada majlis tersebut, Pas Kedah berjaya mengumpul sebanyak RM1.57 juta untuk disumbangkan kepada Tabung Palestin. – K! ONLINE