LANGKAWI – Orang ramai yang telah membuat pembelian tiket feri penumpang bagi laluan Kuala Kedah-Langkawi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Kota Setar masih boleh menggunakan tiket tersebut dalam tempoh enam bulan.
Pengurus Sumber Manusia dan Operasi Konsortium Ferry Line Ventures, Kapten Baharin Baharom berkata, tiket tersebut akan ditukar menjadi tiket terbuka yang mempunyai tempoh sah selama enam bulan.
“Perkhidmatan feri di Terminal Feri Penumpang Kuala Kedah dihentikan sepanjang pelaksanaan PKPD di Kota Setar yang bermula esok hingga 1 Jun depan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Katanya, petugas sektor perkhidmatan perlu atau individu yang mempunyai kecemasan boleh menggunakan pengangkutan alternatif iaitu feri membawa penumpang dan kenderaan jenis Roll On Roll Off (RORO).
“Perkhidmatan RORO ini adalah dari Terminal Tanjung Lembong di sini ke Kuala Perlis,” ujarnya.
Seorang penumpang feri yang juga penduduk di sini, Nang Amirah Nik Abdul Aziz, 27, berkata, dia mendapat kebenaran untuk keluar dari pulau peranginan itu kerana mempunyai janji temu dengan doktor gigi di Alor Setar.
“Mujurlah perancangan asal adalah untuk pulang pada hari ini juga, jadi saya tidak berhadapan dengan sebarang kesulitan.
“Tetapi bimbang juga kalau ada kecemasan sepanjang PKPD selepas ini, pastinya agak menyukarkan pergerakan kami yang tinggal di Langkawi,” katanya. – K! ONLINE