fbpx

Tandukan Alisson julang The Reds

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ALISSON (tengah) berjaya menanduk masuk untuk jaringan kemenangan 2-1 Liverpool ke atas West Brom pada aksi EPL di Stadium Hawthorn awal pagi semalam.

WEST BROMWICH – Penjaga gol Liverpool, Alisson Becker ­menganggap dia melakukan keputusan tepat untuk naik membantu jentera serangan pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang West Bromwich Albion di Stadium Hawthorn awal pagi semalam.

Pada perlawanan itu, Alisson menjadi wira The Reds apabila menjaringkan gol kemenangan pada hujung permainan bagi memastikan Liverpool menang 2-1 sekali gus meraih tiga mata pen­ting untuk terus menghidupkan peluang ke pentas Eropah musim depan.

Kata Alisson, tidak ada sesiapa yang memintanya untuk naik melakukan serangan, namun dia sekadar mencuba nasib dan tidak menyangka mampu menjaringkan gol buat pasukan.

“Saya berada di posisi tepat dan hantaran yang dilakukan cukup sempurna. Saya hanya cuba lakukan tandukan dan tidak sangka ia menerjah jaring.

“Saya sangat gembira dan sukar untuk digambarkan dengan kata-kata. Bagi saya, itu gol pa­ling menarik pernah saya jaringkan, lebih-lebih lagi ia membantu pasukan untuk menang,” katanya dengan penuh emosi.

Tambah penjaga gol antarabangsa Brazil itu, dia sentiasa melakukan tandukan ketika sesi latihan selain menegaskan, ia hanya sekadar untuk berseronok.

“Kadang-kadang ketika latihan, saya juga berlatih untuk menanduk hantaran lintang, namun sekadar suka-suka. Bagaimanapun, latihan itu membantu saya hari ini (kelmarin),” ujarnya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI