fbpx

Suri rumah didakwa tipu projek kuih raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wan Roshaidayati (dua dari kanan) dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuantan di sini hari ini.

KUANTAN – Seorang suri rumah mengaku tidak bersalah selepas didakwa di Mahkamah Majistret Kuantan di sini atas pertuduhan melakukan penipuan perniagaan projek kuih raya pada Disember tahun lalu.

Wan Roshaidayati Wan Mohd Salleh, 51 yang berasal dari Felda Jengka 8 di Maran membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Najwa Hashim di Mahkamah Majistret Kuantan, pagi ini.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu dengan menawarkan pemberian modal permulaan perniagaan projek kuih raya RM2,000 kepada seorang wanita berusia 41 tahun.

Perbuatan itu mendorong wanita terbabit menyerahkan wang RM500 secara tunai kepadanya di sebuah restoran di Taman Seri Mahkota di sini pukul 9.30 malam pada 31 Disember tahun lalu.

Bagi pertuduhan kedua pula, Wan Roshaidayati didakwa menipu seorang pemuda berusia 28 tahun bagi tujuan sama dan mendorong mangsa menyerahkan wang RM500 kepada tertuduh.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di kawasan tempat letak kereta sebuah stesen minyak di Taman Seri Mahkota Aman, pada masa dan tarikh yang sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fathin Nadhirah Kasim dan tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Mohd. Azahari Mat Asin.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan kes disebut semula pada 8 Jun depan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI