PUTRAJAYA – Nasib bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dikenakan atas tujuh pertuduhan penyelewengan dana syarikat SRC International Sdn. Bhd. bernilai RM42 juta akan diketahui pada satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.
Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil yang mengetuai tiga panel hakim memutuskan demikian selepas selesai mendengar prosiding rayuan tersebut yang berlangsung selama 15 hari bermula 5 April lalu.
“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah membuat kajian dengan penuh ketelitian dan saya rasa ini adalah salah satu rayuan yang telah memakan masa agak lama berbanding dengan rayuan-rayuan yang lain.
“Memandangkan rayuan ini melibatkan isu dan perkara yang amat penting seperti yang dihujahkan oleh kedua-dua belah pihak, kami memerlukan masa untuk membuat pertimbangan untuk membuat keputusan terhadap rayuan ini. Kami akan memaklumkan pihak-pihak akan tarikh apabila kami bersedia dengan keputusan ini ” kata hakim itu.
Selain hakim Abdul Karim turut bersidang bersama dua lagi panel hakim ialah Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.
Sementara itu, Najib ketika ditemui selepas prosiding berkata beliau mengharapkan keadilan akan timbul dan berpeluang untuk membersihkan nama.
“Sudah tentu tempoh ini akan menguji saya dan keluarga, saya doa apa yang kita harapkan (keadilan) itu akan menjadi kenyataan,” katanya.
Pada prosiding hari ini, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mengetuai barisan peguam dalam hujahannya tetap menegaskan bahawa Hakim Mahkamah Tinggi Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali yang mendengar kes salah arah dalam membuat keputusan.
Ia yang mana hakim itu mengatakan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low, bekas ketua pegawai eksekutif SRC, Nik Faisal Ariff Kamil dan bekas pengarah SRC, Terence Geh bekerjasama untuk memenuhi tugas seperti yang diamanahkan oleh Najib.
Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V.Sithambaram kemudian dalam hujahannya pula berkata segala hujahan yang dikemukakan pihak pembelaan adalah bersifat afterthought (terkemudian).
Pada 30 Julai tahun lalu, Najib memfailkan notis rayuan terhadap sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Mohd. Nazlan selepas mendapati beliau bersalah atas tujuh tuduhan pecah amanah, pengubahan wang haram dan penyalahgunaan kedudukan yang melibatkan RM42 juta dana SRC.
Dalam petisyen rayuan yang difailkan pada 19 Oktober tahun lalu, Najib mengemukakan 307 alasan bagi menyokong rayuan bahawa Mahkamah Tinggi terkhilaf ketika mendapatinya bersalah dalam kes penyelewengan dana syarikat SRC International berjumlah RM42 juta.
Dua hari sebelum itu, Ahli Parlimen Pekan tersebut dijatuhi hukuman penjara 10 tahun bagi setiap tiga kes pecah amanah dan masing-masing tiga kes pengubahan wang haram manakala penjara 12 tahun dan didenda RM210 juta, jika tidak dipenjara lima tahun dalam kes penyalahgunaan kedudukan.
Bagaimanapun, Najib hanya perlu menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas hakim memerintahkan hukuman itu berjalan serentak.
Najib kini bebas atas ikat jamin RM2 juta dengan dua penjamin sementara menunggu rayuannya selesai. – K! ONLINE