fbpx

Polis terima laporan Neelofa, keluarga sambut Aidilfitri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar yang memaparkan keluarga Neelofa menyambut Hari Raya Aidilfitri pada 1 Syawal lalu.

PETALING JAYA – Satu laporan polis telah dibuat berhubung video tular dipercayai membabitkan sambutan Hari Raya Aidilfitri keluarga Neelofa di sebuah rumah sekitar Pinggir Zaaba, Taman Tun Dr. Ismail semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, siasatan awal mendapati video tular berdurasi 26 saat itu dimuat naik melalui akaun instagram kakak kepada selebriti tempatan berkenaan.

“Video tersebut memaparkan ahli keluarga selebriti tersebut yang didapati berkumpul di sebuah rumah ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri pada 13 Mei lalu.

“Video ini juga telah dikongsi oleh netizen melalui laman sosial twitter dan kes masih dalam tindakan penyiasatan di bawah Peraturan 17 P.U (A) 225/2021,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, ketika ditanya bila selebriti berkenaan akan dipanggil, Anuar berkata polis akan memanggil mereka pada bila-bila masa dan memohon memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan.

Mengulas lanjut, kerajaan telah mengumumkan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) Am Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Wilayah Persekutuan berkuatkuasa pada 7 Mei hingga 20 Mei ini dengan menetapkan bahawa rentas sempadan negeri dan daerah adalah tidak dibenarkan melainkan dengan kebenaran polis.

“Orang awam juga dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan video tular membabitkan keluarga selebriti tempatan ini dan hendaklah mematuhi semua peraturan yang telah ditetapkan oleh kerajaan,” jelasnya.

Kosmo! Online semalam melaporkan, belum reda isu rentas negeri dan karpet, keluarga Neelofa sekali lagi menjadi perhatian dan bualan netizen apabila didakwa melanggar SOP Aidilfitri yang ditetapkan.

Terbaharu, sebuah video yang dimuat naik kakak Neelofa, Noor Nabila tular dalam laman Twitter selepas dirakam dan dikongsi netizen sejak tengah hari kelmarin.

Video berdurasi 27 saat itu jelas menunjukkan ahli keluarga Neelofa berkumpul pada pagi Syawal dan sedang bersalaman meminta maaf antara satu sama lain.

Tinjauan Kosmo! Online juga mendapati video berkenaan telah dipadam Noor Nabila dalam Instagramnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI